Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Thursday, May 22, 2025

Bila Dunia Tidak Lagi Penting: Sebuah Pengorbanan Untuk Ibu

Dia bukan wanita yang lemah.

Bahkan sepanjang hidupnya, dia dikenali sebagai individu paling cekal, paling teguh berdiri walaupun dunia bergoncang di sekelilingnya. Seorang pengurus yang disegani, tegas, berwibawa dan sentiasa ada jalan keluar untuk apa-apa sahaja cabaran yang dilalui. Namun, ada satu cabaran yang masih belum dia temui jalan keluarnya, selain berhenti kerja.

Hari itu, tanggal 30 April 2025, dia menanggalkan semuanya.
Kad akses. Meja kerja. Kunci kereta.
Dia serahkan semuanya dengan tangan yang tidak lagi bertenaga.
Dan saat pintu pejabat ditutup di belakangnya, dia merasakan seluruh tubuhnya menjadi longlai. Bukan kerana penat fizikal, tetapi kerana kehilangan identiti yang telah dipertahankannya separuh daripada hidupnya.

Dia tidak pernah merancang untuk berhenti.
Jika ditanya setahun sebelum itu, dia pasti menjawab akan terus bekerja sehingga pencen.
Dia masih memerlukan gaji bulanan yang diterima. Dia masih mempunyai banyak impian yang belum tertunai. Namun, kehidupan ini sebenarnya bukan tentang apa yang kita rancang.

Semuanya bermula dengan satu panggilan.
Suara ibunya di hujung talian. Suara itu sedih, perlahan, lemah tidak bertenaga, disulam nada kecewa dan penuh derita.
"Along, Ibu lapar... Pina tak ada..."
Tangisan ibu yang teresak-esak seperti anak kecil, membuatkan hatinya pecah walaupun dia cuba untuk kelihatan tabah.

Melihat jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 6:45petang. Mesyuarat baru saja bermula sedangkan waktu pulang adalah jam 6:00petang.

"Along meeting," itu sahaja yang sempat dia balas dengan nada perlahan. Risau didengari Pengerusi mesyuarat di depan mata. 

Cepat.
Ringkas.

Air mata ibu seolah-olah tidak mempunyai tempat dalam ruang kerjanya yang terlalu profesional.

Talian dimatikan.
Dan dalam diam, air matanya pula yang jatuh.
Bukan kerana penyesalan saat itu, tetapi kerana dia sedar bahawa dia tidak lagi tahu siapa dirinya.

Dia tersepit antara dua dunia.
Satu dunia yang membina masa depannya dan satu dunia yang menuntut jiwanya.
Dia cuba bertahan. Cuba membahagikan masa. Tetapi waktu tidak pernah cukup. Ibu semakin uzur. Rumah semakin sunyi. Dan di pejabat, tekanan terus mencengkam tanpa belas. Baik daripada Pengarah Urusan yang tidak pernah cukup dengan setiap pencapaian, mahupun penyelia yang kerap mengekangnya dalam mesyuarat sampai lewat malam. Sistem pekerjaan yang tidak pernah selesai terus memeras masanya.

Akhirnya, dia memilih untuk mengundurkan diri.
Dengan rasa berat yang tidak terungkap, dia tinggalkan semuanya. Karier yang dibina selama dua dekad, rakan sekerja yang telah menjadi seperti keluarga, kereta syarikat yang menjadi simbol kejayaan. Dan yang paling menyakitkan… harga dirinya sebagai wanita berkerjaya.

Kini, dia berada di rumah.
Menjaga ibu.
Mengisi masa dengan tugas-tugas yang tidak ada KPI, tiada pencapaian, tiada penghargaan rasmi.
Dahulu, dialah wanita hebat yang sibuk mengejar sasaran suku tahun Kini dia menjadi seorang anak perempuan yang menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, menyuap ubat, membalut luka dan mendengar rungutan serta bebelan ibu yang tidak pernah puas meraih perhatian.

Dia merindui dunia lamanya.
Rindu mesyuarat. Rindu rasa dihargai. Rindu saat semua orang menunggu arahannya.
Namun, lebih daripada semua itu, dia merindui dirinya sendiri.
Rindu rasa berdaya.
Rindu rasa berguna.

Namun setiap kali dia memandang wajah tua ibu yang semakin redup, dia tahu… dia tidak gagal.
Cuma jalannya telah berubah.

Dia tidak lagi berdiri di atas pentas kejayaan, tetapi kini dia berdiri dalam ruang kecil yang dinamakan "pengorbanan."

Dan ya, ruang itu sunyi.
Tiada sorakan.
Tiada anugerah.
Hanya ada dia… dan ibunya.
Dua jiwa yang kini sedang belajar menyembuhkan antara satu sama lain.


Pengajaran dan Pesanan 

Dalam dunia yang sentiasa mengejar angka dan pencapaian, kita sering terlupa bahawa redha Tuhan itu sering hadir dari tempat-tempat yang paling sunyi seperti suara ibu yang sayu, atau tangan tua yang menanti suapan seorang anak.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 23–24:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: 'Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil.'”

Ada pengorbanan yang dunia tidak akan nampak, tetapi syurga memandangnya dengan penuh kasih.


Jika kamu sedang diuji untuk memilih antara dunia dan orang tuamu, ketahuilah… Tuhan sedang memberi peluang untuk kamu meraih sesuatu yang lebih kekal — redha-Nya.

Friday, September 13, 2024

Sakit dan Kesembuhan

"Sakit apa?"
Itu persoalan yang sering ditanyakan teman, rakan taulan, kenalan dan saudara mara. Terkejut mereka tatkala mendengar aku tiba-tiba dimasukkan ke hospital dan perlu jalani pembedahan.
Almaklum, aku tak pernah sakit yang teruk sebegini. Setakat demam, itu perkara biasa dan aku tak pernah culas masuk kerja meskipun dalam keadaan kepala biul serta tak boleh berfikir dengan waras. Bertahan saja.
"Demam ni makan Panadol saja," kata madam yang tak betah melihat pekerjanya mengambil cuti.
"As a leader, you must know your priority. The company is still fragile. Kalau sekejap sekejap nak MC, nak EL, macamana company nak survive?" kata-kata Madam sering terngiang dalam kepala setiap kali aku mula rasakan kesihatan badan kurang baik. Aku dilanda rasa berdosa jika sakit.
Justeru, aku sangat jaga kesihatan. Aku jaga pemakanan, ambil suplemen, bersenam (walaupun ada cheating sikit), dan cuba kawal kesihatan minda (yang ni banyak kali kecundang).
Dalam sejarah kerjaya, rekod kehadiran aku sangat baik. Aku sangat berbangga kerana sepanjang 9 tahun kerjaya bersama SIC, jumlah MC aku hanyalah 2 hari saja.
Waktu itu, aku alami alergi teruk. Seluruh badan merah dan gatal. Doktor sendiri tak dapat kenalpasti puncanya. Tapi aku rasa ia berpunca daripada bahan kimia daripada kertas yang aku baru saja terima pada hari sebelumnya.
Itulah satu-satunya aku diberi MC sepanjang 9 tahun bekerja sebagai System Administrator di SIC.
Namun, tahun 2024 membawa cerita yang lain. Buat pertama kali selama 7 tahun di syarikat terkini, aku terpaksa ambil cuti sakit yang panjang sehingga 68 hari.
Ya! Aku tak pernah MC! Walaupun demam panas atau terseliuh kaki, aku tetap gigih datang bekerja. Jika demam pun, seringkali hadirnya pada hari Jumaat dan sembuh menjelang Ahad. Macam tau tau saja yang aku perlu terus bekerja.
"I'm surprised that you're still standing. You can fall anytime. I'll get you warded today" beritahu Dr Siti dengan pandangan serius.
Macam dunia berhenti sekejap. Tak sangka, pendarahan yang aku alami sebenarnya di tahap bahaya.
Aku didiagnose anemia dengan bacaan HB4.6. Ia kritikal dan doktor beritahu yang aku boleh terkena serangan jantung pada bila-bila masa.

Terkenangkan kisah ibu Mira yang diserang stroke akibat stres yang melampau. Aku tak mampu untuk sakit sebegitu. Ia melibatkan bukan saja kewangan yang banyak, malah menyukarkan orang terdekat untuk menjaga dan mengurus.
Susulan daripada itu, Dr Siti jadualkan aku untuk jalani pembedahan. Ia bertujuan menangani masalah pendarahan yang berterusan.
Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar meskipun aku kehilangan banyak darah semasa pembedahan dijalankan.
"HB Puan dah naik ke 14," beritahu nurse semasa membuat pemeriksaan selepas aku selesai menjalani pembedahan.
Suaranya yang ceria membuatkan aku rasa lega yang tak dapat digambarkan. Macam beban berat selama berbulan-bulan tiba-tiba diangkat. Sekarang, masa untuk rehat. Masa untuk sembuh.
Cuti kali ini, walaupun dipaksa oleh keadaan, aku syukur. Syukur masih diberi peluang untuk berehat, untuk menghargai kesihatan yang dulunya aku abaikan.
Nikmat hidup, satu nafas pada satu masa.

Sakit Itu Mahal Harganya. Sihat Juga Bukan Percuma.

Membaca coretan seorang teman pesakit kanser berkenaan Bil Rawatan, sesungguhnya, ia adalah satu ujian yang sangat perit untuk dilalui.

Bayangkan, dahlah sakit, tak boleh bekerja, tak boleh urus diri, perlukan rawatan dan ubatan. Kos rawatan pula sangat tinggi untuk setiap sesi rawatan.
Setelah melalui sendiri beberapa siri rawatan dan pembedahan tahun ini, tak dinafikan medical card sedikit sebanyak membantu.
Tetapi, di sebalik ceritanya, jika kau tak ada kerja, tak berduit, pasti kau sendiri tak mampu nak bayar premium bulanan tersebut.
Yang orang tak tahu, Medical Card tak akan cover semua perbelanjaan hospital. Ada saja perbelanjaan yang perlu dikeluarkan daripada poket sendiri. Meski tak banyak, cecah empat angka juga.
Ikat perut juga nak bayar bakinya. Kalau nak ke swasta, sentiasa standby duit yang banyak juga tau.
Jadi, apa yang perlu dibuat oleh kita adalah sebaiknya jagalah kesihatan.
Namun, jika Allah nak uji, maka kun fayakun, sakitlah kamu meskipun bersenam, makan vitamin/suplemen dan jaga makan.
Ujian sakit adalah ujian untuk refleksi diri.
Sibuk mengejar dunia yang pantas sehingga mengabaikan hak diri untuk rehat, menikmati ketenangan dan menyantuni keluarga.
Ada lagi berbaki 3 minggu sehingga dibenarkan untuk kembali bekerja. 57 hari dicutikan oleh Dr Siti.

Jangan berasa bangga kalau sentiasa sihat. Sebab Firaun tak pernah sakit.

Sunday, July 15, 2018

Aidilfitri 060718: Penyakit Gaya Hidup

Teks: Nor Azian Binti Jamil
azian@draz.my

"Yan, akak sebenarnya sakit", beritahu kak Fida dalam nada suara yang lemah.

Persoalan tentang keadaannya yang nampak berlainan ketika kami mula menjejak kaki ke ruang tamu rumahnya mula terjawab.

"Akak sakit apa? 3 serangkai ke? Kencing manis? Darah Tinggi?" Tekaku pantas. Al maklum, semenjak berurusan dengan doktor yang banyak memberi perkongsian tentang penyakit Diabetes, sedikit sebanyak aku boleh memahami keadaan seseorang berdasarkan penerangan tentang kesakitan yang dialaminya.

Lalu Kak Fida berkongsi masalah yang dihadapinya.
Mata kirinya sudah buta. "Sebab tu akak tak cam Yan masa Yan sampai tadi."
Kak Fida kini hanya bergantung kepada mata kanannya yang turut mulai kabur dan sukar melihat dek penyakit Diabetes.
Kak Fida juga sudah menjalani pembedahan pinggul kanan. "Akak tak boleh duduk betul. Tak balance. Sebab tu akak tak boleh duduk lama. Sakit." Adunya. Sambil ditunjukkan bahagian ibu jari kaki kirinya yang berlubang dan kehitaman. Itu implikasi kaki buruk! Ia berlaku apabila kuman diabetes menyerang. Luka yang tidak sembuh akan mula merebak ke bahagian berhampiran. Secara perlahan kuman Diabetes akan mereputkan daging yang akhirnya membusuk dan harus dibuang. Meskipun pembedahan dilakukan, kesannya masih kekal berpanjangan sehingga akhirnya bakal meragut nyawa pesakit.

Aku tak mampu melihat. Jiwa aku rapuh. Aku sudah menemui ramai pesakit kritikal seperti ini dan pertemuan kami pasti berakhir.

"Akak, Diabetes ni tak ada ubat. Untuk menjalani kehidupan yang lebih baik masih boleh. Dengan cara amalkan gaya hidup sihat." Itu pesanku dengan suara menahan sebak.

Iya! Diabetes tiada ubat. Ubat yang kita ambil hanya berfungsi untuk melambatkan proses, bukan untuk menyembuhkan. Namun secara perlahan ia juga mampu membunuh kita tanpa sedar melalui pelbagai komplikasi terhadap organ dalaman tubuh kita.

Apa yang boleh membantu kita ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pesan doktor yang sering aku kongsikan bersama mereka yang ingin mendengar:
1. Kawal pemakanan. Ini adalah titik utama dalam memulakan perjalanan ke arah hidup yang lebih berkualiti.

  • Kawal kadar gula dalam darah dengan mengawal pemakanan. Apabila sudah mula mengambil insulin dan juga sudah menjalani pembedahan di mana-mana anggota badan, kita berada di dalam kategori kritikal. Amalan gaya hidup sihat hanya boleh membantu menambah baik kualiti hidup. Ini adalah kerana, anggota tubuh yang sudah dibuang, pasti tidak dapat disambung semula ke tubuh kita. Noktah!
  • Elakkan makanan yang menghasilkan kadar gula yang tinggi terutamanya nasi, pulut, roti, mee kuning, kek, biskut.
  • Elakkan minuman yang mengandungi kadar gula yang tinggi seperti minuman bergas, minuman pra campuran (3 in 1, 10 in 1, dll), minuman isotonik
  • Di dalam setiap hidangan yang diambil, bahagiannya perlu mencukupi. Iaitu, segenggam protin, segenggam karbohidrat dan 2 tapak tangan sayuran hijau.


2. Bersenam. Kita dilahirkan untuk bergerak. Bukannya duduk diam terlentang di sofa sepanjang masa. Sebaiknya lakukan senaman sebanyak 150 minit seminggu. Tidak perlu bersenam seperti di gym. Cukup dengan pergerakan seluruh anggota badan dengan tapak kaki memijak rumput.

  • Cahaya matahari amat penting untuk pesakit diabetes. Ia membekalkan vitamin D kepada tubuh yang membantu proses penyembuhan melalui peningkatan imunisasi tubuh terhadap penyakit. 
  • Kawal stress melalui senaman. Stress mengakibatkan perjalanan darah menjadi tidak lancar lalu melembabkan edaran oksigen ke seluruh tubuh.
  • Apabila tubuh bergerak, perjalanan darah menjadi lancar. Tubuh akan mengeluarkan satu hormon serotonin iaitu hormon gembira yang membantu mengurangkan kadar stress.
3. Pastikan tidur mencukup iaitu 6-8 jam sehari. Kehidupan waktu kini yang menuntut kita bekerja melebihi waktu sebenarnya menjadi punca meningkatnya pertambahan pesakit Diabetes. Apabila tubuh kurang rehat, ia mengakibatkan stress. Apabila stress berlaku, maka antibodi kita menjadi lemah. Apabila antibodi lemah, maka banyaklah penyakit mudah hinggap. 
Islam sendiri menuntut agar kita membahagikan masa kepada 3 bahagian. 1/3 untuk bekerja, 1/3 untuk beribadah, 1/3 untuk berehat. 
Untuk apa sebenarnya kita mengejar dunia ini?

Aku hanya bisa berpesan. Namun yang menghadapinya saja yang lebih tahu.

Teman, andai ada insan terdekat yang menghadapi masalah Diabetes, bebellah sepuas hati. Agar bebelan kita sedikit sebanyak dapat membantu masalah yang dihadapi. Bantulah mereka untuk menjalani hidup yang lebih sihat. Ujian yang mereka terima adalah sebenarnya pengajaran buat kita yang masih hidup ini.

#coffeewriter
#personalobserver

Wednesday, April 5, 2017

E0104: Antara Emas, Perak dan Wang Kertas, Mana Satu Menjadi Pilihan Untuk Simpanan?

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian.jay@gmail.com















"Antara Emas, Perak dan Wang Kertas, Mana Satu Menjadi Pilihan Untuk Simpanan?", Pn Reni bertanya.

Jawab saya, "Saya bahagikan kepada 3 bahagian. 55:5:40. Iaitu, 55% untuk emas. 5% untuk perak manakala baki 40% untuk wang kertas. 55% daripada emas itu saya pecahkan menjadi pegangan saham, hartanah, mengembangkan perniagaan serta melancong. 5% untuk perak pula disimpan sekadar suka-suka. 40% daripada wang kertas itu digunakan untuk meneruskan dan menguruskan kehidupan."

Dahulu sewaktu mula belajar menyimpan emas, saya sangat taksub. Sehinggalah pada tahun 2012 saya diberi pengajaran hidup bagaimana emas tidak dapat digunakan. 

Kalut! Takut! Risau!
Apa akan jadi dengan hidupku?

Sedangkan sebelum ini para sifu dan otai-otai emas kerap berkongsi dan mengajar agar menyimpan emas kerana ia sangat diperlukan dan amat berguna di masa depan berbanding wang kertas. 

Ya! Saya pandang senget terhadap wang kertas waktu itu.

Sekitar tahun 2012, berlaku kes perniagaan emas melonjak naik. Pelbagai jenis model dan jenama emas wujud di pasaran. Ada emas MLM (beli emas mesti jadi agen dan bayar yuran yang tinggi) serta wujud pelbagai jenis penipuan emas sehingga menjadi berita nasional. Ini berikutan wujudnya pelbagai syarikat emas yang membuat skim membeli emas tetapi emas disimpan di tempat mereka. Tidak sedar ditipu penyangak durjana! 

Ramai yang membabi buta percaya kerana katanya orang atasannya adalah somebody dan mana mungkin akan ditipu. 
Kerugian bukan setakat puluhan ribu, malah JUTAAN ringgit! 

Situasi mencemaskan ini mengakibatkan emas tidak dapat dicairkan di pasaran. Ini termasuklah emas yang saya sering gunakan sebagai modal perniagaan dan pelancongan. Namun begitu, selepas 7 bulan, syarikat kami satu-satunya dibenarkan meneruskan operasi manakala banyak syarikat lain masih lagi disiasat sehingga lebih 2 tahun. Ini adalah kerana syarikat kami mendapat kepercayaan penuh kerana menjalankan perniagaan emas mengikut undang-undang.

Syukur Alhamdulillah. Saya mendapat tamparan hebat waktu itu. Di dalam keadaan kekurangan tunai, tiada apa yang boleh saya lakukan. Terpaksalah menjual beberapa unit emas yang berada di dalam simpanan. Mujur harga emas meningkat naik waktu itu, tidaklah terasa rugi. Namun saya masih terasa sayang kerana jika ia masih ada, nilainya akan menjadi lebih tinggi di masa hadapan.

Sebuah pengajaran yang amat mahal namun begitu berharga.

5 tips mudah yang boleh saya kongsikan:

  1. Pastikan anda menyimpan emas dan BUKANnya resit atau buku emas bagi mengelak penipuan dan melindungi diri daripada RIBA. 
  2. Simpan emas untuk jangka panjang (JANGAN jual melainkan anda adalah peniaga emas)
  3. Konsisten menyimpan emas (usah dipengaruhi turun naik harga emas melainkan anda adalah pelabur yang sering memerhati carta turun naik harga di pasaran)
  4. Tukarkan (bukan jual ya!) emas kepada pelaburan lain seperti hartanah mahupun pengembangan perniagaan.
  5. Kenalpasti tujuan membeli emas. 
    • Untuk bergaya? 
    • Untuk pelaburan? 
    • Untuk masa depan? Hasilnya akan jadi sangat berbeza.


Sekian dahulu. Semoga ia memberi manfaat. 

Tuesday, April 4, 2017

E45-0: Feedback Latihan Menulis Oleh Pn Masayu





Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian.jay@gmail.com


Minat mendalam terhadap bidang penulisan membawa saya untuk bertemu dengan ramai tenaga pengajar termasuklah Pn Masayu.

Di zaman Facebook ini, saya disarankan oleh rakan-rakan tentang kelas penulisan yang dianjurkan Pn Masayu. 

Saya merupakan peserta bulan Mac. Kami diminta untuk menghasilkan penulisan dalam tempoh 20 hari. 

Kelas yang santai dan membantu mengenalpasti kekuatan diri kita berdasarkan 8 soalan temubual yang diberikan pada awal sesi kelas. 

Alhamdulillah, dengan latihan tersebut, ia membantu saya menghasilkan beberapa catatan pengalaman peribadi sepanjang terlibat di dalam dunia keusahawanan ini.

Semoga catatan saya memberi manfaat buat anda sebagai pembaca.


Wednesday, March 22, 2017

E40-44: Pentingnya Sistem Perekodan Untuk Usahawan

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my

---------
Nota: Tulisan ini sesuai dibaca untuk anda yang terlibat dalam perniagaan tetapi menghadapi masalah di dalam perekodan.
---------




Pernahkah anda mengalami masalah PC, laptop, tab serta telefon bimbit rosak secara tiba-tiba?

Ujian tahun 2017, telefon bimbit serta komputer saya rosak sehingga mengakibatkan semua maklumat dan dokumen hilang.

Aduh! Menangis air mata darah pun tidak mampu mengembalikan apa yang hilang. Rasa macam nak runtuh langit kehidupan.

Lebih mengharukan, Username dan password lupa. Sounds familiar?
.
Tapi, hikmah dari ujian tu akhirnya berjaya menghasilkan dokumen perekodan syarikat yang julung-julung kalinya dihasilkan.
.
Nama je ada Diploma in Business Studies tapi ia gagal diaplikasikan ke alam realiti.
.
Sebab? Belajar masa kat universiti tak sama dalam kehidupan. 


Alasan....kann?
.
Kelemahan sistem perekodan mengakibatkan saya sering bertanya di dalam hati
"Ke mana duit aku pergi? Masuk banyak, tapi manjang takde duit!"
.
Setiap kali nak mohon dana/geran dari mana-mana jabatan, pasti gagal kerana tiada rekod untuk ditunjukkan.
.
Saya pernah membeli beberapa sistem perekodan berharga ribuan ringgit tapi tidak dapat  digunakan dengan sebaiknya kerana ia tidak sesuai dengan bidang perniagaan. Ia perlu dib
eli kerana saya sangat sedar bahawa sistem perekodan itu sangat PENTING bagi sesebuah perniagaan yang ingin berdaya maju.
.
3 sebab utama ke semua sistem yang dibeli tersebut tidak dapat digunakan dengan baik:


  1. Sistem terlalu kecil sedangkan terdapat ratusan SKU yang perlu dimasukkan.  
  2. Perlu menggunakan komputer setiap kali ingin menggunakan sistem tetapi disebabkan kami sering berada di luar kawasan kerana menyertai booth, maka ia tidak dapat digunakan dengan sempurna.   
  3. Sistem terlalu besar dan ia hanya sesuai digunakan oleh syarikat besar seperti CELCOM dan TELEKOM. Sistem ini pula fokus kepada HRM sedangkan kami tidak menggunakannya berikutan jumlah pekerja yang kecil. .
Masalah ini sebenarnya bukan hanya berlaku di kalangan usahawan kecil dan baru saja. Malah syarikat besar dan bertaraf antarabangsa turut menghadapi masalah yang sama. Kisah benar ini berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu bertugas sebagai System Administrator yang perlu menguruskan Ticketing System, POS dan ACC System.
.
Ini adalah kerana, sistem sedia ada di pasaran tidak mampu menghasilkan sesuatu yang memenuhi keperluan dan kehendak syarikat kita sendiri. Setiap syarikat adalah unik. Proses menghasilkan sebuah sistem yang lengkap akan mengambil masa yang panjang berbanding menggunakan sistem yang sedia ada di pasaran. 

.
Ada yang ingin nak cubaguna sebuah sistem perekodan yang ringkas, mudah dan boleh digunakan di merata tempat tanpa perlu menggunakan komputer? Jangan segan-segan untuk hubungi kami.


Saturday, March 18, 2017

E34-44: 7 Tip Berjimat



Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my










Saya gemar membaca majalah IK. Isinya ringkas dan mudah disesuaikan dengan kehidupan.

Sewaktu berada di lobi wad kecemasan jam 2:30 pagi, sambil menunggu dengan mata yang hampir rapat, saya mengambil peluang membaca majalah IK yang dijadikan peneman di saat penantian.

Untuk Isu kali ini, IK berkongsi 7 tip berjimat dalam ekonomi sekarang. Tip yang dikongsikan beliau dapat membantu kita mengecapi hidup yang lebih tenang dan selesa.


Tip no 6 buat saya termenung seketika:
  1. Katakan TIDAK kepada e-rokok
    • Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan kita dan keluarga, malah turut mengosongkan poket. Bayangkan sekiranya duit yang dibelanjakan untuk rokok itu disimpan, pastinya dapat memberikan keuntungan di masa depan.
  2. Potong Kad Kredit
    • Simpanan pelaburan (keuntungan <10%) yang kita lakukan tidak akan bertambah sekiranya wang kita bocor akibat pembayaran caj kad kredit (lingkungan 18%) yang kita tidak nampak.
  3. Jaga Emosi Ketika Berbelanja
    • 90% keputusan belian adalah dibuat berdasarkan emosi. Jadi, Emosi yang tidak stabil akan mengakibatkan kita berbelanja barang yang tidak diperlukan seterusnya melakukan pembaziran.
  4. Pelajari 1 Topik Kewangan
    • Kita tidak perlu menjadi pakar. Latih diri untuk mengetahui selok belok pengurusan kewangan peribadi serta meningkatkan pendapatan melalui pelaburan mahupun perniagaan.
  5. Amalkan Hutang Yang Bagus
    • Contoh: Membeli rumah, memulakan perniagaan atau menuntut ilmu
  6. Membaca selama 30 minit
    • Membaca buku boleh menambah kepakaran anda di dalam sesuatu bidang. Namun begitu, ia tertakluk kepada jenis buku yang dibaca juga.
  7. Cari kawan baru
    • Dapatkan kawan yang bijak tentang pengendalian wang, secara tidak langsung pasti anda akan terikut-ikut untuk menjadi bijak sepertinya. Bak kata pepatah, 

Kalau berkawan dengan penjual minyak wangi..

Kita akan dapat bau harumnya
Kalau berkawan dengan tukang besi...
Kita akan dapat tempias panas besinya
Nah! Jangan baca saja tips yang dikongsikan oleh IK ini. Kita mestilah mempraktikkannya bagi mendapatkan hasil yang diidamkan.


Monday, March 13, 2017

E19-44: Beli Atau Sewa Rumah?

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: koleksi peribadi
azian@draz.my

[ Sewaktu mengikuti kursus pelaburan bersama saudara Shufaad]

Sering terpandang-pandang di penglihatan, hasil pembacaan daripada buku penulisan saudara Azizi Ali, di antara langkah mengumpul kekayaan ialah dengan tidak membeli rumah tetapi menyewa rumah terlebih dahulu. Tidak membeli kereta baru tetapi membeli kereta terpakai terlebih dahulu.

Saya tidak bersetuju dengan penulisan beliau pada waktu itu kerana bagi saya, rumah adalah harta dan perlu dibeli secepat mungkin. Nanti harga naik. 


Maklumlah, usia muda. Kerja pun dah bagus, ini adalah masa terbaik membuat pinjaman di bank kerana jika tidak buat pinjaman saya langsung tidak boleh membeli harta. 

Begitulah pemikiran kita yang telah ditanam sedari kecil.

Namun kini, selepas melalui banyak fasa kehidupan, barulah saya faham mengapa beruntungnya sewa rumah.
===

Ramai yang MAMPU (memaksa diri untuk mampu kerana hakikat sebenarnya tidak mampu) membayar pinjaman bank sebulan RM1500 untuk sebuah kereta atau rumah. Dan sanggup berhutang sehingga 20-35 tahun (bayaran pinjaman bank pembelian rumah). Tetapi ramai yang tidak mampu menabung sebanyak RM600 sebulan untuk masa depan sendiri yang lebih baik.


====

LOAN/Pinjaman Bank:
Status Rumah: BUKAN milik sendiri, masih hakmilik bank

Anggaran kasar pengiraan pinjaman bank:
Pinjaman asal RM150,000 (harga rumah tahun 2009)
Bayaran balik kepada bank RM300,000 (25 tahun)

SEWA Rumah:
Status Rumah: BUKAN milik sendiri, masih hakmilik penyewa

Anggaran kasar penyewaan:
Bayar sewa RM900 dan dapat simpan RM600 
(Andaikan keperluan adalah sama seperti bayaran pinjaman Bank setiap bulan iaitu RM1500)

Anggaran kasar simpanan:
RM600 x 12 bulan (setahun) = RM7200
RM7200 x 10 tahun = RM72,000 (tanpa mengambil kira dividen/bonus/interest yang diperolehi setiap tahun)

Meskipun selepas 10 tahun dengan nilai Rm72,000 kita tidak akan sama sekali dapat membeli sebuah rumah, tetapi kita akan dapat banyak manfaat di antaranya:

  1. Bebas RIBA. Banyak ayat tentang Riba di dalam Al Quran. Takutnya diperangi Allah.
  2. Tiada hutang (dengan bank) - hidup tanpa hutang adalah lebih aman dan tenteram
  3. JIMAT: Jika rumah rosak, tuan rumah yang tanggung kosnya.
  4. JIMAT: Tidak perlu berhutang dengan Courts Mammoth setiap kali hari raya untuk menukar perabot baru memandangkan terfikir kesukaran sewaktu berpindah.  Jika duduk rumah sendiri, banyak idea akan dikeluarkan untuk menghias rumah dengan perabot yang bersesuaian.
  5. Kebiasaannya rumah sewa berdekatan dengan tempat kerja. Jika beli rumah sendiri, kebiasaannya jauh dari tempat kerja kerana ingin dapatkan harga rumah yang sepadan dengan kemampuan.

Saya memiliki sebuah rumah dan sebuah kedai di bawah tanggungan sendiri. Kesukarannya amat dirasakan. Mujurlah saya berjaya menyewakan kedai tersebut dan kini saya berura-ura untuk menyewakan rumah yang saya duduki kini dan tinggal semula bersama ibu bapa. Banyak pembaziran yang telah saya lakukan wehhhh...

====
 "Orang yang paling kaya ialah mereka yang banyak simpanan, BUKANNYA yang banyak gaji"
====

Friday, March 10, 2017

E14-44:: Jangan Berhenti Kerja Jika...


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian@draz.my





Jangan Berhenti Kerja!!!

Pernahkah anda rasa penat bekerja? Rasa nak berhenti je kan? Asyik kena marah dengan bos. Gaji naik sikit. Kawan-kawan lain naik pangkat, aku dok takat niiii je. Kerja aku banyak sedangkan orang lain yang kuat ampu bos suka suki masuk kerja lambat dan minta orang lain punch kan.

Pernah ada rasa yang sama?

Jika betul, maka JANGAN Berhenti Kerja Jika semata-mata untuk sebab-sebab di atas!!!

Dapatkan sebab yang tepat untuk berhenti kerja jika anda ingin berjaya.

Contohnya:
Aku ingin berhenti kerja kerana ingin memperbaiki taraf hidup atau ingin mengembangkan bakat dan kemahiran yang aku ada. Atau, Aku ingin berhenti kerja kerana dapat peluang lebih bagus.

Amacam? Boleh boleh?

Jangan Berhenti Kerja!!!

Pernahkah anda merancang untuk berhenti kerja dan terbaca tips persediaan berhenti kerja yang menyatakan anda perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 6 bulan atau setahun gaji anda?

Jika betul, maka JANGAN Berhenti Kerja Jika semata-mata untuk sebab di atas!!!

Meskipun anda ada 6-12 bulan simpanan, tetapi jika tiada ilmu kewangan yang betul, maka semua simpanan tersebut akan lenyap dalam sekelip mata. Ini fakta sebenar.

Persediaan berhenti kerja yang terbaik ialah dengan menuntut ilmu pengurusan kewangan. Meskipun anda tidak mampu menyimpan sehingga 6 bulan gaji, dengan adanya ilmu pengurusan kewangan, anda akan berjaya.

InsyaAllah




E12-44: Thesis | Dissertation | Literature Review

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my







Sepanjang penglibatan saya di dalam bidang penyediaan konten, fokus saya lebih kepada Ulasan Produk, Ayat Iklan, Surat Jualan dan Konten Laman Sesawang. Tidak pernah terfikir untuk melibatkan diri semula di dalam bidang Penulisan Akademik berikutan saya rasakan ia sangat susah. 

2016 membawa saya ke lembaran baru. Saya menerima permintaan untuk membantu seorang rakan menyediakan tesis. Pada mulanya saya agak ragu-ragu kerana khuatir tidak mampu melakukannya berikutan setiap topik adalah sangat berbeza daripada .

Memandangkan saya sangat mementingkan integriti, maka saya cuma menerima permintaan mereka yang inginkan proof read dan re-write sahaja untuk mana-mana bahagian tesis. Ada juga yang meminta untuk saya membuat semua penulisan dari kosong, namun saya tolak meskipun mereka menyediakan semua data dan bahan kajian. 

Berdasarkan pertemuan saya dengan mereka yang memerlukan perkhidmatan seperti ini, saya dapati masalah utama insan-insan ini bukan sebab tak tahu buat. Tetapi:

  1. Masing-masing bekerja dan ada kekangan tersendiri dari segi masa serta cabaran penat, letih dan lesu. 
  2. Tidak faham dengan permintaan Supervisor. Ada saja yang tak kena dan kertas cadangan yang dihantar sering ditolak berikutan pelbagai kesilapan. 
  3. Kurang yakin menulis di dalam Bahasa Inggeris. Ini merupakan masalah paling utama. Selepas saya ulang baca penulisan mereka, inilah yang sebenarnya melambatkan proses kelulusan kertas cadangan mereka. Pengulangan Ayat, Ayat Tergantung serta Ayat Lemah (tiada sokongan) merupakan masalah yang banyak ditanda dengan pen merah oleh Supervisor masing-masing.

Asal mulanya, gembira kerana berjaya menyelesaikan masalah SATU orang. Kali ini si dia pula menyarankan rakan-rakan untuk bertemu saya meminta bantuan dan khidmat nasihat.
InsyaAllah, akan diusahakan untuk bantu sebaiknya. 

Thursday, March 9, 2017

E7-44: Terjun

Teks: Nor Azian Binti Jamil
azian@draz.my
Gambar: Google



Ada ketika kita perlu membuat keputusan untuk terjun ke dalam satu-satu bidang yang di luar kemahiran dan ilmu yang kita ada.
Namun begitu, adakah kita perlu cuba dan jaya tanpa sebarang persediaan?
Terjun tiruk gitu?

Meskipun kita sekadar ingin melakukan penerjunan dari bangunan, kita perlu kenalpasti beberapa perkara asas, di antaranya:

  • di manakah lokasi penerjunan?
  • tali apakah yang perlu kita gunakan?
  • adakah kepanjangan tali boleh membawa kita kepada pendaratan yang selamat?
  • dan banyak lagi.

Ya! Ilmu perlu ada, tetapi kita tak perlu menjadi pakar untuk memulakan langkah. Kalau sibuk membuat kajian, silap haribulan, turun tangga sajalah jawabnya. Itupun kalau tak buat terjun tiruk.

Ketakutan yang bakal menjadi penghalang akan berlaku sewaktu meletak kaki di gigi bangunan sebelum penerjunan. Tekad harus kuat. Jiwa mesti kental. Namun apabila sampai di bawah, anda pasti teruja untuk melakukan penerjunan semula.

Begitulah jua pengalaman saya di dalam bidang penulisan. Untuk menjadi penulis bahan yang berjaya, latihan perlu dilakukan setiap masa. Latihan dari segi penulisan, latihan skil pemasaran, latihan skil close sale, latihan pengurusan dan banyak lagi. Saya juga mencari pakar yang boleh membantu untuk mengenalpasti seterusnya menggilap skil yang saya ada.

Eh! Mengapa banyak pula latihan yang tidak berkaitan?
Oh! Jika ingin berjaya, skil tersebut kita perlu ada. Kalau tidak, bagaimana hendak mendapatkan pelanggan. Betul?

Apatah lagi kepakaran saya sewaktu belajar dan menjadi pensyarah dahulu adalah berkaitan Teknologi Maklumat, Komputer, Server, Programming dan Database. Bagaimana pula saya hendak berjaya apabila terjun di dalam bidang yang jauh berbeza pula?

Angan-angan nak jadi hacker. Bertukar pula menjadi penulis.
Itulah dia takdir yang Allah telah susunkan.

Bagaimana takdir anda pula?


E6-44: Sesi Temubual

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian@draz.my



===

"Macamana Puan boleh minat buat kerja menulis ni? Saya kagum la boleh siapkan cepat. Kalau saya, serabut tak tahu nak tulis apa. In English pula tu,"
===

Nik, jurutera muda yang cantik manis ini cuba mencungkil pengalaman saya sewaktu sesi konsultasi tugasan.


Sebenarnya saya sedang membantunya menyemak tesis yang dihasilkan untuk topik Kejuruteraan. Ia dihasilkan di dalam bahasa Inggeris dan saya perlu semak tatabahasa, kosakata serta susunatur ayat yang digunakan. 

Sambil duk belek hasil penulisan si Nik ni, agak bagus juga. Susunan ayatnya teratur dan tidak banyak masalah tatabahasa. Satu-satunya yang saya jumpa mempunyai hasil penulisan yang menarik dan tepat. Hasil penulisan dari orang lain yang saya pernah semak setakat ini, banyak kena tanda dengan pen merah. Masalah utama mereka kebanyakannya ialah ayat tergantung, ayat tunggang langgang serta tatabahasa yang tidak betul.

Saya juga tidak menyangka akan terlibat semula di dalam bidang penulisan akademik selepas lebih 20 tahun meninggalkan alam Universiti. Ia tidaklah semudah yang disangka tetapi bentuk penulisan yang dihasilkan sangat menjana minda. 



Pengalaman sebagai penulis
Sewaktu zaman budak sekolah dulu saya banyak menulis cerpen, pantun, sajak, puisi, gurindam serta novel untuk majalah. Merasalah jua sedikit honorarium serta hadiah pelbagai jenis buku nota dan buku cerita. 

Indahnya zaman sekolah dulu kan? Teringat kembali kenangan berguru dengan Othman Puteh. Waktu itu, anak beliau Hizairi yang paling terkenal di kalangan budak sekolah macam kami. Terkenang juga sahabat saya, anak kepada sasterawan negara A.S.Said yang memiliki hasil penulisan kritis.

Selepas memasuki alam universiti, saya tidak lagi aktif di dalam penulisan dek kesibukan dengan aktiviti luar. 

Namun begitu, jemari saya kembali aktif menulis selepas wujudnya blog dan forum di dunia maya. Waktu itu, talian internet hanya boleh didapati di pejabat dan ia tidaklah semudah sekarang.

Bentuk penulisan saya mulai berubah kepada lebih kritis dan berfakta. Almaklumlah, zaman pekerjaan telah membuka minda kepada perkara yang lebih formal. Saya banyak memberi tumpuan kepada menulis Ulasan Produk dalam dwibahasa. Tujuan saya hanya satu, untuk dikenali oleh orang luar Malaysia. 

Hasil penulisan dalam bentuk dwibahasa sememangnya telah berjaya menemukan saya kepada pelanggan luar negara. Apa lagi, di zaman matawang MYR jatuh teruk, saya dibayar dalam USD/CAD/EURO/SGD. Seronok kan?

Kemudian saya berjinak-jinak di dalam genre lain yang lebih memfokus kepada bidang keusahawanan. Saya mulai menulis Ayat Iklan, Pemasaran Kandungan serta Surat Jualan. Selain membantu di dalam perniagaan saya, ia juga telah membuka peluang untuk saya menawarkan perkhidmatan ini kepada ramai usahawan lain.

Nak saya kongsikan bagaimana saya bermula menjadi penulis Ayat Iklan?

Nantikan ya!

Wednesday, March 8, 2017

E1-44: Salam Perkenalan

Salam perkenalan buat sahabat pembaca yang dirahmati,


Azam 2017 untuk saya memulakan langkah dengan perkara baru. Kalau dahulu saya menulis dengan hentam keromo, maka kali ini saya cuba menjadikan ia sesuatu yang lebih baik dan memberikan manfaat. Mohon sama-sama doakan yang terbaik.

Saya dilahirkan lebih 40 tahun lalu dengan nama Nor Azian Binti Jamil. Untuk menghubungi saya, mudah saja, hantarkan email ke azian@draz.my.


Pendidikan
  • Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian), Universiti Utara Malaysia (1995-1998) 
  • Diploma in Business Studies, Universiti Teknologi MARA (1992-1994) 
  • SMKA Maahad Hamidiah, Kajang (1987-1991) 
  • SRK(1) Kuala Ampang, KL (1981-1986) 

Pengalaman kerja. 
  • 2010-kini: Freelancer (Writer, Content Marketer, Copywriter) untuk majalah dan web bagi syarikat tempatan dan luar negara 
  • 2001-2010: System Administrator, Sepang International Circuit Sdn Bhd 
  • 1998-2001: Lecturer IT di Kolej ASTIN, Lecturer IT di ENCS Group, Teaching & Learning Executive (IT) di Mybase dan Corporate Trainer (Database Programming & Microsoft Product) untuk kerajaan dan swasta. 

Minat, kemahiran, kepakaran. 
- Saya minat memasak selain masakan melayu. Di antara yang digemari ialah masakan Cina, Barat, Korea. Selain itu saya gemar melancong, menulis, membaca dan mengira. Saya sangat suka kira-kira dengan membuat akaun syarikat. Leka.
 - Kepakaran di dalam bidang kecantikan terutamanya bidang solekan dan penjagaan kulit. Acapkali dipanggil untuk berkongsi tips dan teknik kecantikan oleh pelbagai jabatan kerajaan dan syarikat swasta.


Jenis buku yang suka dibaca. 
- Saya gemar membaca buku motivasi dan personaliti. Selain itu saya sukakan ilmu hartanah dan emas.


Sebahagian hasil catatan saya boleh dilihat di sini
- http://kryolanfans.my/ - http://fcc-makeup.blogspot.my/ - http://azianjamil.blogspot.my/ - http://norajamil.wordpress.com/


Matlamat di dalam bidang penulisan

Tidak dinafikan saya amat gemar menulis. Sedari kecil sudah didedahkan dengan menulis novel, cerpen dan sajak yang terpapar di majalah. Namun begitu, proses kedewasaan telah mengubah teknik penulisan saya kepada niche yang berbeza berikutan terlalu banyak didedahkan dengan penulisan jenis informatif. Saya juga sering mendapati bentuk penulisan saya menjadi self centered dan melalut (dragging).

Meskipun sudah berpengalaman, saya yakin bahawa proses ilmu itu tidak cukup dan akan terus berpanjangan sampai ke akhir hayat. Perkongsian ilmu dengan para guru sangat membantu saya untuk menghasilkan sebuah penulisan yang lebih menarik dan bersesuaian dengan imej saya.

Harapan saya sangat tinggi bagi mendapatkan fokus yang baik serta tidak syok sendiri