Showing posts with label Pengalaman Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman Bisnes. Show all posts

Monday, February 19, 2018

EP1801: Bisnes Rasa-Rasa

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my

.
"Saya rasa saya boleh buat bisnes ni," beritahu Aisha. Sambil mata melirik kepada rekod pencapaian setiap stokis yang di bawah seliaannya. 
.
Melihat kejayaan setiap stokis membawa pulang banyak hadiah penghargaan di antaranya termasuklah barang kemas dan tiket penerbangan ke luar negara menjadikan Aisha lebih teruja. 
.
"Kalau mereka boleh buat, mengapa aku tidak boleh?", Aisha menyuntik semangat positif ke dalam hati kecilnya yang sudah mula merasa bosan menjadi kuli dan balaci di tempat kerja. 
.
Manakan tidak. setiap hari dipaksa balik kerja lambat. Gaji kecil. Tekanan perasaan. Terpaksa berpisah dengan anak kecil setiap kali outstation. Macam-macam lagilah.
.
"Bosan dengan kerja. Tension dengan kerja. Kalau buat bisnes mesti dapat bersama keluarga setiap hari. Pendapatan pun lumayan " rungut Aisha tak pernah putus.
.
Aisha... Nak buat bisnes bukan boleh main rasa-rasa je. 
.
Madame sering berpesan, "Business is all about facts and figures. As business owner, you don't even have time to rest."
.
#coffeewriter
#personalobserver



Tuesday, March 28, 2017

E44-44: 2 Kesilapan Mengurus Duit

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian@draz.my



Pernahkah mendengar pesanan ini?
Mereka yang kaya bukanlah yang bergaji besar tetapi yang banyak menyimpan.


Kita sentiasa cemburukan orang lain. Kita lihat mereka bergaji besar, mulalah berangan-angan, "Kalaulah aku bergaji 10 ribu, mesti aku senang, kan?"

Menurut Warren Buffett, mereka yang sentiasa hidup dalam ketidakcukupan adalah kerana:
  1. Tidak menyimpan.
  2. Mahu kaya cepat.

Sikap Mahu Kaya Cepat adalah sikap manusia yang sering kita jumpa. 

Siapa tidak ingin kaya cepat bukan?
Pelbagai cara dilakukan. Terutama jika mendapat tawaran duduk diam-diam dapat duit sudah semestinya itu satu tawaran yang sangat mudah dan memudahkan. Lebih-lebih lagi jika ada CEOnya yang bertaraf Ustaz Ustazah, Dato Datin atau Tan Sri Puan Sri sudah tentu sangat mudah kita percaya. 
.
.
.
Hakikat sebenar dalam kehidupan kita, tiada satu apa pun di dalam dunia ini yang PERCUMA dan duduk diam-diam dapat duit. 
.
.
.
Jika ingin kaya, syarat utama ialah menyimpan. 
Jika anda simpan dalam bentuk duit, ia akan mengalami susut nilai atau boleh juga susut bila-bila masa jika faktor 'kecemasan' tiba-tiba di ambil kira. Jika anda sudah merasakan penangan matawang RM mengecil di pasaran pada tahun 2015-2017, pasti anda akan lebih faham.
.
.
.
Bagaimana untuk mengatasinya ya?

Simpanlah dalam bentuk harta tetap seperti hartanah dan emas mulia.
.
.
Nanti ada pula yang bertanyakan saya, mana mampu nak simpan dalam bentuk hartanah. Modalnya besar!
Ya! Modalnya memang besar. Tetapi kita boleh berdikit-dikit dengan menyimpan logam. Dari logam dijadikan hartanah. 
.

.
.
Boleh juga buat pinjaman Ah Long Kawasan Yang Berlesen. 
Bank le tu. 

Malang sungguh, sedari dalam perut lagi kita sudah dilatih untuk hidup meminjam bank. 
.
.
.
Jika saya ada ilmu emas mulia ini sewaktu muda, pastinya saya akan berjaya melindungi diri saya dari Riba. Di sekolah, kami belajar ilmu tentang Riba sekadar dari buku teks. Malangnya, kami tidak belajar cara-cara melindungi diri dari Riba dalam kehidupan sebenar. Takut diperangi Allah, tetapi tak ada siapa pun yang boleh berkongsi cara-cara mengelak dari terjebak secara sedar.
.
.
Namun begitu, saya sangat bersyukur, Pencarian saya telah dibantu Allah. Banyak jalan yang saya telah temui untuk berjihad menghindari Riba. Saya mulakan dengan diri sendiri dan keluarga terdekat saja dahulu.  
.
.
Sangat mudah bila dah tahu caranya. Saya sedang bertindak pantas kerana masa tidak lagi berpihak kepada saya. Maklumlah, umur sudah meniti senja.



 







Friday, March 24, 2017

E41-44: Kisah kak Fauziah dan anaknya

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my







Selasa lepas saya menerima kehadiran Kak Fauziah, pelanggan tetap yang setiap bulan pasti datang ke SOHO butik membuat pembelian.

Kak Fauziah ni rajin bercerita. Saya pula seorang pendengar setia. 

Kali ini Kak Fauziah berkongsi cerita tentang anak-anaknya. Beliau gemar bercerita tentang anaknya Zairi yang memiliki kedai komputer di Kompleks PP tempat yang sama saya pernah berniaga dahulu. 

Zairi mempunyai seorang abang yang dahulunya pernah bekerja di Dubai. Gajinya besar, setiap bulan tidak pernah kurang dari RM10,000 yang dibawa pulang. Namun begitu beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana tidak tahan dengan pengurusan syarikat.

Abang Zairi yang langsung tidak mempunyai minat berniaga akhirnya membuat keputusan untuk menjual coconut shake bersama seorang rakan di Taman PU. Tidak dapat bertahan lama, beliau menutup perniagaan kerana rakan kongsinya menarik diri. 

Demi kelangsungan hidup, beliau menyambung bidang yang tidak diminatinya dengan menjual cendol dan laksa di perkarangan masjid A. Wah! Sambutan yang hebat dan secara purata beliau mampu memperolehi hasil jualan sekitar RM400 sehari semenjak bermula 2 bulan yang lalu.  

Apa yang dapat saya kongsikan di sini ialah, untuk berniaga TIDAK PERLUKAN MINAT mahupun BAKAT. Kita sebenarnya boleh melakukan apa saja sekiranya berada di dalam fasa SURVIVAL. Kejayaan atau kegagalan sesuatu usaha yang dilakukan adalah satu proses kelangsungan hidup. Tidak penting jika kita gagal kerana kejayaan adalah sahabat sejati yang akan muncul apabila masanya tiba.

Wednesday, March 22, 2017

E40-44: Pentingnya Sistem Perekodan Untuk Usahawan

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my

---------
Nota: Tulisan ini sesuai dibaca untuk anda yang terlibat dalam perniagaan tetapi menghadapi masalah di dalam perekodan.
---------




Pernahkah anda mengalami masalah PC, laptop, tab serta telefon bimbit rosak secara tiba-tiba?

Ujian tahun 2017, telefon bimbit serta komputer saya rosak sehingga mengakibatkan semua maklumat dan dokumen hilang.

Aduh! Menangis air mata darah pun tidak mampu mengembalikan apa yang hilang. Rasa macam nak runtuh langit kehidupan.

Lebih mengharukan, Username dan password lupa. Sounds familiar?
.
Tapi, hikmah dari ujian tu akhirnya berjaya menghasilkan dokumen perekodan syarikat yang julung-julung kalinya dihasilkan.
.
Nama je ada Diploma in Business Studies tapi ia gagal diaplikasikan ke alam realiti.
.
Sebab? Belajar masa kat universiti tak sama dalam kehidupan. 


Alasan....kann?
.
Kelemahan sistem perekodan mengakibatkan saya sering bertanya di dalam hati
"Ke mana duit aku pergi? Masuk banyak, tapi manjang takde duit!"
.
Setiap kali nak mohon dana/geran dari mana-mana jabatan, pasti gagal kerana tiada rekod untuk ditunjukkan.
.
Saya pernah membeli beberapa sistem perekodan berharga ribuan ringgit tapi tidak dapat  digunakan dengan sebaiknya kerana ia tidak sesuai dengan bidang perniagaan. Ia perlu dib
eli kerana saya sangat sedar bahawa sistem perekodan itu sangat PENTING bagi sesebuah perniagaan yang ingin berdaya maju.
.
3 sebab utama ke semua sistem yang dibeli tersebut tidak dapat digunakan dengan baik:


  1. Sistem terlalu kecil sedangkan terdapat ratusan SKU yang perlu dimasukkan.  
  2. Perlu menggunakan komputer setiap kali ingin menggunakan sistem tetapi disebabkan kami sering berada di luar kawasan kerana menyertai booth, maka ia tidak dapat digunakan dengan sempurna.   
  3. Sistem terlalu besar dan ia hanya sesuai digunakan oleh syarikat besar seperti CELCOM dan TELEKOM. Sistem ini pula fokus kepada HRM sedangkan kami tidak menggunakannya berikutan jumlah pekerja yang kecil. .
Masalah ini sebenarnya bukan hanya berlaku di kalangan usahawan kecil dan baru saja. Malah syarikat besar dan bertaraf antarabangsa turut menghadapi masalah yang sama. Kisah benar ini berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu bertugas sebagai System Administrator yang perlu menguruskan Ticketing System, POS dan ACC System.
.
Ini adalah kerana, sistem sedia ada di pasaran tidak mampu menghasilkan sesuatu yang memenuhi keperluan dan kehendak syarikat kita sendiri. Setiap syarikat adalah unik. Proses menghasilkan sebuah sistem yang lengkap akan mengambil masa yang panjang berbanding menggunakan sistem yang sedia ada di pasaran. 

.
Ada yang ingin nak cubaguna sebuah sistem perekodan yang ringkas, mudah dan boleh digunakan di merata tempat tanpa perlu menggunakan komputer? Jangan segan-segan untuk hubungi kami.


E39-44: 5 Sebab anda perlu teroka laman perdagangan elektronik

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google dan Koleksi Peribadi
azian@draz.my






Minggu lepas, saya menerima surat makluman penutupan sebuah laman perdagangan elektronik. Saya telah menggunakan medium dari penyedia ini sejak 2015. Sayang sungguh kerana umurnya tidak panjang di pasaran. 
Agak sedih akan kehilangannya namun perjuangan masih perlu diteruskan. Lumrah kehidupan, setiap yang hidup pasti akan mati pada suatu hari nanti. Tiada yang kekal dan sempurna.





Perdagangan elektronik adalah di antara medium jualan yang telah menjadi pilihan peniaga di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Kalau dahulu ia dipelopori oleh penyedia luar negara seperti Amazon dan AliBaba, namun kini sudah banyak terdapat di negara kita dengan pelbagai tawaran yang menarik.

Ada yang perlu membayar yuran tahunan dan ada yang tidak. Ada juga yang perlu menyimpan stok peniaga di gudang mereka dan ada yang hanya mengambil tempahan dan menyerahkan tugas penyimpanan stok kepada peniaga berdaftar.

Namun kini kebanyakan syarikat menawarkan keahlian percuma dan hanya mengambil sedikit peratusan keuntungan dari hasil jualan. Selain itu, ada juga yang menawarkan kos pengeposan/penghantaran secara percuma bagi menarik minat para pembeli.

5 sebab mengapa anda perlu menggunakan medium laman perdagangan elektronik:


  1. Cepat - Tidak perlu bina laman sesawang sendiri
  2. Mudah - Boleh menawarkan lebih daripada 50 produk di dalam satu masa
  3. Jimat - Leverage kos pemasaran kepada syarikat penyedia
  4. Close Sale yang lancar - proses jual beli menjadi sangat mudah tanpa perlu menguruskan permintaan pelanggan kerana ia dilaksanakan dengan menggunakan sistem transaksi yang lengkap
  5. Capaian mudah menggunakan laman sesawang atau aplikasi telefon pintar

Namun begitu, terdapat 3 kelemahan utama yang kita perlu dihadapi:

  1. Yuran atau potongan peratusan jualan yang tinggi 
  2. Syarikat tidak melaksanakan proses pemasaran dengan baik
  3. Penerimaan bayaran daripada jualan yang lambat
Setiap medium pilihan mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Usah jadikan ia penghalang ke arah kejayaan di masa depan.














Tuesday, March 21, 2017

E37-44: Strategi Bisnes Murah



Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my



.




Dr Jerome berpesan kepada saya, strategi perniagaan MURAH tidak akan dapat membina KESETIAAN PELANGGAN (Customer Loyalty) terhadap kita.

Pesan beliau lagi "DON'T mess up your strategy"

Sebagai usahawan, jangan jadikan diri kita dan perniagaan kita - NAMPAK Murah - di mata pasaran.

Kerana murah ini TIDAK DIHARGAI oleh pelanggan.

Lihat saja negara China. Negara yang dikenali sebagai pengeluar produk murah dan produk berjenama tiruan. Apa saja yang datang dari negara tersebut secara automatik disebut sebagai produk yang kurang berkualiti dek kemurahannya yang terlampau. 

Pelanggan tidak mahu membayar lebih dan kita akan menjadi sukar untuk menaikkan harga di masa akan datang meskipun kos kehidupan semakin meningkat.

Bayangkan, di saat serba serbi kos meningkat: gula, minyak petrol/diesel, ikan kembung, tol, elektrik dan banyak lagi, anda tidak boleh menaikkan harga kerana nilai produk yang dijual sudah hilang harga dirinya.


Kita tidak mampu mengembangkan bisnes, kekal berniaga dari rumah, tiada pekerja dan tidak mampu membayar gaji sendiri. Tanpa sedar sebenarnya modal perniagaan sentiasa bergantung harap menunggu gaji suami atau gaji bekerja dengan syarikat lain.

Fikir-fikirkan strategi bisnes anda!





.

Saturday, March 18, 2017

E36-44: Persaingan



Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my






Persaingan itu sesuatu yang sihat.

Ia membina jati diri dan semangat untuk mencapai visi dan melaksanakan misi.

Namun begitu, ia menjadi kurang sihat dan kurang ajar apabila kita sebagai usahawan sering mencari kelemahan dan salah silap pesaing sedangkan diri sendiri meniru apa yang pesaing lakukan.

Bak kata pepatah, meludah naik ke langit, jeliknya menimpa muka sendiri.
Menepuk air di dulang, limbahnya memercik muka sendiri.

Sepanjang penglibatan saya di dalam bidang ini, banyak pengalaman pahit manis yang saya tempuhi terutamanya melibatkan pesaing.

Ada pesaing yang meniru apa yang kita buat/jual. Bukan setakat itu saja, malah meniru bulat-bulat teknik pemasaran yang dilakukan tanpa melakukan sebarang penambahbaikan.

Ada pesaing yang menjual harga murah dari pasaran. Masalah ini akan sentiasa berlaku namun ada cara yang lebih berbaloi untuk mengatasinya selain hanya mengutuk, mencaci dan memaki hamun.

Paling buruk, ada pesaing yang datang dari kalangan pembekal sendiri. Jika kita menjadi stokis sesuatu produk, ia menjadi masalah besar sekiranya pembekal yang kita harapkan mula berpaling tadah. Mereka mula buang harga dan ada yang membuat pelbagai cara untuk mencari salah silap stokis mereka.


Mengapa perlu takut dengan pesaing?

Jom! Pelajari cara untuk bekerja bersama dengan pesaing.











E35-44: SOP bukan Sup ye!


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my





[ SOP EVENT ]

1. Kenalpasti segmen pelanggan

2. Jika (1) dikenalpasti, asingkan persona

3. Else, sediakan pangkalan data

4. Ulang semula (2)

5. Tamat

=====
Semasa zaman belajar di UUM dulu, setiap hari perlu buat latihan Proses Carta Alir. Ini berikutan sistem komputer hanya tahu mengikut arahan berdasarkan ketetapan yang telah kita sendiri tentukan.

Sebenarnya, Proses Carta Alir ini juga sangat berguna di dalam kehidupan kita sebagai usahawan. Selain boleh dibina sebagai satu dokumentasi SOP,  ia turut membantu kita melihat secara jelas tentang aktiviti dan tugasan yang perlu dibuat bagi mendapatkan hasil yang diingini.

Pastinya kita tidak pernah terfikir untuk menampalkannya di dinding bukan?

Proses ini juga bukan sahaja dapat membantu kita, malah ia dapat dipindah milik kepada orang bawahan kita ke arah perkembangan perniagaan yang sihat dengan proses pelaksanaan yang teratur. 

Apa kata kita cuba? Kalau tak tahu, jangan segan untuk bertanya ya!



E33-44: Rakan kongsi


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my








"Jangan lantik share partner semata2 sebab dia nak bagi duit. 
Pastikan ada KPI minima 6 bulan." 
 
Jemizan Abu Bakar. MAPAC, UM







Buat perjanjian awalan untuk tempoh 6 bulan dahulu. Elakkan menjadi rakan kongsi seumur hidup.


Ramai yang menjangkakan bahawa sebagai rakan kongsi yang memberikan duit, maka dia akan dapat banyak daripada keuntungan yang dibuat.


Hakikat sebenar, pembahagian % adalah selepas segala kos dikira. 

Sebab itulah perjanjian amat dititikberatkan bagi menentukan tahap campur tangan dan pembahagian keuntungan sesebuah perusahaan. 
 


E30-44: USP Bedak Arab


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my





Saya telah terlibat di dalam bidang kecantikan sejak 2001. 
Bermula sebagai mekap artis kemudiannya saya dilantik pelbagai syarikat untuk menjadi stokis mereka. 
Macam tak percaya je apabila menerima panggilan dari luar negara bagi memaklumkan permohonan dan tawaran mereka.

Saya amat mementingkan kualiti produk yang dijual. Selain memastikan ia tidak mengandungi bahan yang dilarang, saya juga sentiasa berpesan kepada para pelanggan agar menggunakan sesuatu produk dengan cara yang sebaiknya.

Berikutan perasaan ingin tahu yang kuat, saya sanggup merantau bagi mendapat maklumat yang betul dan tepat. Sebelum ke Tanah Arab, saya berkampung di China terlebih dahulu.

Tidak dapat tidak, ramai yang sukakan produk solekan dari Tanah Arab kerana katanya halal. Sedangkan hakikatnya produk kecantikan yang berlambak di Dubai kebanyakan
 asal datangnya dari China dan Filipina. 

Nak tahu dari mana asalnya kena baca di setiap kotak atau bekas pembungkusan. 
Namun begitu, ada juga pembekal yang menukar kepada bekas baru sebaik sampai di Malaysia.

Nak mudah lagi lihat saja jenis kotak dan bekas yang digunakan. Nampak fragile dan bergaya murah.

USP yang digunakan sehingga membuatkan ramai wanita tergilakan produk solekan dari Dubai:
  • Stewardess banyak pakai
  • Dubai negara Islam
Tidak dinafikan Malaysia tiada keupayaan menghasilkan produk kecantikan yang berkualiti berikutan kekangan bahan mentah. Sebab itulah kebanyakan alat solek di import dari luar negara. 

E29-44: Proses Validasi TESCO


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my





Nampak macam banyak kan?

TESCO ni bijak, dia bagi kita banyak tu, tapi dia dapat balik 2 kali ganda!


TESCO yg besar tu pun masih buat proses Validasi. Namun begitu, mereka tak buat membabi buta. 

Proses Validasi ditawarkan kepada pelanggan yang telah ada di dalam Database mereka. 

Anda ada Database?

Kita yg kecik semut ni takkan tak reti-reti nak tiru apa yang baik?

Database ini satu aset utama di dalam sesebuah perniagaan. Takkan lah sampai ke hujung nyawa asyik nak cari prospek kan?

Dengan Databaselah kita dapat menguasai pasaran, berada di tahap yang berlainan daripada pesaing yang suka main harga serta ulangan pembelian daripada pelanggan dengan pantas.

Tak tau nak buat Database?

Kalau tak tau kenalah rajin bertanya dan berguru.

Friday, March 17, 2017

E27-44: Jual air di pasar malam


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my









Jual air yang orang suka minum. 
BUKAN yang kita suka minum. 
Noktah.

Berniaga di pasar malam membantu kita untuk mendapatkan tunai setiap hari. Namun jika tidak pandai mengenalpasti segmen pelanggan, pasti bukan setakat tidak dapat membawa pulang wang tunai, malah terpaksa pula melakukan pembaziran dengan membuang semua air yang tidak habis dijual. 

Setiap orang mempunyai citarasa tersendiri. Selera juga tidak sama.

Jika ingin memenangi selera pembeli di pasar malam, kita perlu ketepikan lidah dan tekak kita. Utamakan kehendak pelanggan.


Thursday, March 16, 2017

E26-44: Rancangan Perniagaan - Ringkas dan Padat


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my


Pentingkah Rancangan Perniagaan (RP) ini?

Mestilah Penting!

Jika kita ingin melihat perkembangan sesebuah perniagaan yang kita usahakan, sebaiknya sediakanlah satu Rancangan Perniagaan bagi melihat halatuju perniagaan kita.  

Namun begitu, setiap RP berbeza bergantung kepada apakah tujuan ia dihasilkan. 

Di antaranya:

  • memohon pinjaman/pembiayaan/tajaan
  • mencadangkan sesebuah projek/perniagaan baru
  • menaiktaraf sesebuah projek/perniagaan sedia ada


Bagaimana menghasilkan RP?

Tak perlu tulis panjang lebar. 

"Jadikan ia padat dan memberikan impak." 
Itu pesan guru saya, saudara Ezeehan Redza. 

Apakah perkara yang perlu ada di dalam RP?

Perkara utama yang perlu ada ialah:

  • Pengenalan
  • Misi
  • Visi
  • Perancangan ringkas (dalam bentuk graf/gambar)
  • Penutup

Kandungannya perlulah menjawab persoalan 5WH iaitu: Who, What, Why, How, When.

Kali terakhir saya menulis RP ialah ketika di universiti dahulu. Tidak pernah pula saya menghasilkan RP untuk perniagaan sendiri. 

Sejak mengikuti program bersama MyWin Academy, saya dilatih menguruskan perniagaan dengan lebih teratur dan bukan lagi tangkap muat macam dulu-dulu. 

Bukan saja dapat menghasilkan idea baru, malah saya dapat melihat perkembangan perniagaan sedia ada selain mampu membantu mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai agensi dan orang perseorangan. 

Menarik bukan?




E25-44: Main-main Angka

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my






Kita mudah terpengaruh dengan ANGKA dan gelaran di pangkal nama.
.

Suatu hari, saya menerima tempahan pembelian sebuah produk dengan jumlah yang besar dan inginkan dengan kadar segera. Tempahan ini dibuat oleh seorang Jutawan Hero Malaya yang kacak dan bergaya.

Hati berbunga-bunga. Maklumlah, keuntungannya sahaja sudah boleh memberikan kesenangan buat kami. Apatah lagi dijanjikan akan berlakunya ulang belian sekiranya projek pertama ini berjaya. Itu belum kira kalau kita dapat berposing bersama si jutawan sebagai satu portfolio yang ingin dibanggakan.

Namun begitu, beberapa terma yang diberikan membuatkan kami terfikir semula.
Kami perlu menyediakannya dengan kadar segera, tiada sebarang bayaran deposit dibuat serta terlalu banyak perubahan perlu dilakukan terhadap produk tersebut.

Wah, mentang-mentanglah si dia orang bergelar, mudah saja kita bersetuju membabi buta tanpa mengambil kira pro dan kontra nya ya!
.
Tidak salah untuk menerima tawaran tersebut tetapi kenali kekuatan diri terlebih dahulu. .

Belajar untuk merasionalkan setiap sesuatu.

Fikirkan.

Lakarkan.

Persoalkan.

Baru berikan jawapan.

Jangan mudah terpengaruh dengan ANGKA. 

Wednesday, March 15, 2017

E23-44: Viral Buyer


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my





Untung kalau dapat jual barang yang viral.
Sebab pengikutnya sedia ada dan sanggup membeli tanpa pandang harga.

Tutup mata.
.
Alkisah viral terkini si beskut Gery. Dek 'keenakan' yang dicanang-canangkan, maka saya pun sering tertanya-tanya, hebat sangatkah kesedapannya itu sampai licin selalu di kedai?

Akhirnya, saya pun terbeli si biskut Gery dengan harga yang sungguh tak masuk akal.
Mahal gila!
Maklumlah biskut naik kapal terbang.

Tapi, demi nak mengesahkan kesahihan kesedapannya, maka tutup mata sajalah ya.
Fuhhh.... sanggup tu.

Malangnya, apa yang dicanang-canangkan orang jauh panggang dari api.
Bukan tak sedap, tapi ada biskut lain yang jauh lebih sedap dan lebih berbaloi.
Enak lagi makan biskut gula Hup Seng cicah coklat berbanding biskut Gery yang mahal dan sangat sedikit.

Kesimpulannya: Sesuatu produk yang viral mempunyai pengikutnya sendiri. Pengikutnya adalah di kalangan orang No 4. Iaitu orang yang suka mendengar cerita daripada orang lain dan untuk mengesahkan cerita tersebut, mereka akan mencuba walau apa pun harganya.

Sementara tengah viral ni, juallah dengan harga yang tinggi. 

Saturday, March 11, 2017

E15-44: Panggilan dari jauh


Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google 
azian@draz.my




Suatu malam.
Saya menerima panggilan dari tanah besar Arab,
Pakcik saya yang sudah puluhan tahun berkelana di sana, tidak pernah jemu bertanya khabar.
Kali ini kami berbicara tentang topik perniagaan. Sementelah, beliau tahu bahawa saya menceburi bidang perniagaan sudah lama dan di kalangan ahli keluarga dan saudara mara saya dikenali sebagai insan yang berjaya.

Saya ditanyakan 2 soalan utama:
  1. Apakah langkah terbaik menjadi seorang pelabur?
  2. Apakah kursus yang perlu diikuti oleh mereka yang lemah dalam pengurusan syarikat?

Berpeluh-peluh juga hendak menjawab. Kerana saya tahu beliau menjadi pelabur untuk beberapa perusahaan yang dijalankan oleh adik-beradiknya dan juga beberapa anak buahnya iaitu sepupu saya. Beliau jugalah yang menjadi pemula kepada perniagaan saya sebagai wedding planner dengan memperkenalkan kami dua beradik kepada rakan baiknya seorang jurusolek ternama di Malaysia. 

Sebahagian jawapan dan perkongsian saya terhadap soalan tersebut:

  1. Perlu ada persetujuan dalam bentuk perjanjian. Ini akan menentukan berapa % pelabur dapat di dalam setiap pelaburan yang dikeluarkan. Gaji, elaun dan komisyen juga boleh ditetapkan atas persetujuan kedua belah pihak. Selain itu, ia turut menentukan tahap campur tangan pelabur di dalam perniagaan yang dilabur. 
  2. Sepupu saya mempunyai kelemahan ketara di dalam pengurusan syarikat, lalu beliau meminta saya mencadangkan kursus yang bersesuaian. Ada 2 pilihan yang saya cadangkan. Pertama: sekiranya beliau masih mampu untuk belajar dan melaksanakan tugas selepas belajar, maka sebaiknya ikuti kursus. Cadangan Kedua saya: sekiranya beliau sudah tidak mampu menguasai ilmu komputer, perkeranian dan perakaunan syarikat, sebaiknya upah seorang kerani untuk melaksanakan tugas tersebut.
Saya memang kenal rapat dengan sepupu saya itu. Memandangkan beliau lebih banyak melakukan tugasan fizikal, seorang lelaki pula, saya yakin tugas mengurus dokumen syarikat tidak bersesuaian dengan jiwanya. 

Sememangnya bukan mudah untuk mengurus sebuah perniagaan dengan baik. Dokumentasi  bersistematik sangat penting bagi menentukan samada sesebuah perniagaan itu mampu berdaya maju ataupun tidak. 

Bukan mudah untuk menjadi pelabur. Dan bukan mudah untuk mengurus sebuah syarikat yang menerima suntikan modal dari pelabur.


Friday, March 10, 2017

E11-44: Kesungguhan - Determination

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my




Sepanjang penglibatan saya dalam bidang perniagaan, pelbagai kursus telah kami anjurkan yang memfokuskan kepada personaliti dan keusahawanan. 
Menariknya, para peserta yang datang berkursus bukan saja terdiri daripada warga Malaysia, malah ramai warga luar negara turut menjadi anak murid.
Sanggup datang ke Malaysia demi menuntut ilmu menghadirkan diri ke pusat latihan kami yang serba lengkap di Puchong, sebuah daerah kecil yang agak jauh dari kota metropolitan.
Tidak tersebut di lidah bagaimana bahasa ibunda mereka ingin menyebut perkataan Puchong.
Selain tiada kemudahan capaian Public Transport waktu itu. Berbeza kini sudah tersedia kemudahan MRT sehingga depan pusat latihan manakala hotel dan motel tumbuh bak cendawan.
Ironinya, warga Malaysia pula terlalu berkira-kira untuk hadir dan meminta kami pula ke tempat mereka..

Jauh katanya.
Anak tak ada orang jaga.
Tak reti memandu.
Tak ada kawan.
Saya paling suka catatan bahasa hikayat ini:

Yang capik datang bertongkat
Yang buta meraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh.
Hendak 1000 daya. 
Noktah.

Thursday, March 9, 2017

E9-44: Pembimbing Rakan Sebaya

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my



Perkongsian ini khas untuk bacaan anda yang baru belajar berniaga dan sering ada masalah dengan pelanggan yang bermacam kerenah.


Wednesday, March 8, 2017

E5-44: Tips Uncle LIM

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google
azian@draz.my






Saya ada seorang Uncle. Namanya Uncle Lim. Selepas berkahwin dengan makcik saya, beliau dikenali dengan nama Azman, namun begitu saya masih tetap memanggilnya Uncle Lim.

Uncle Lim seorang usahawan Cina yang sangat rajin berusaha. Saya mengenali beliau ketika berumur 17 tahun. Waktu itu beliau mengusahakan kantin di sebuah kilang elektronik di Shah Alam. Saya bekerja sebagai pembantu beliau di kantin sewaktu menanti keputusan panggilan UPU.

Uncle Lim banyak cakap dan suka berkongsi pelbagai ilmu dengan saya. Terutamanya tips memasak masakan Cina serta tips berniaga. Entah bagaimana saya menjadi anak buah yang agak rapat dengannya. 

Di antara perkongsian beliau yang saya tak pernah lupa ialah Tips Memanggil Pelanggan. Ia nampak biasa tapi hasilnya LUAR BIASA.

Caranya, kalau buka kedai makan, buat bising semasa memasak.
Ketang! ketung! ketang! ketung!.

Sepanjang mengikuti pelbagai seminar keusahawanan yang saya hadiri, tips ini sangat laku keras. Bezanya, ia telah di tukar kepada pelbagai bahasa jargon agar tampak gah meskipun isinya sama saja.

Kalau dahulu, tiada kewujudan internet, aktiviti memanggil pelanggan dilaksanakan secara luar talian. Iaitu dengan menggunakan pelbagai medium terutamanya media cetak.

Namun kini dengan kemudahan internet yang meluas, pelanggan boleh dipanggil secara dalam talian mahupun luar talian. Medium yang digunakan pula semakin meluas, Teknik memanggil pelanggan lebih difokuskan kepada Tajuk iklan yang dihasilkan.  

Uncle Lim telah meninggalkan kami lebih 10 tahun yang lalu. Masih terngiang-ngiang suaranya berkongsi cerita.
Semoga arwah Uncle Lim dikurniakan limpahan rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.

Aaameeennn..
.
.
.
p/s: Anda pernah melihat waving cat di mana-mana kedai Cina? Itu juga adalah sebahagian daripada cara memanggil pelanggan yang telah diamalkan berasaskan panduan feng shui.





E3-44: Peniaga Jalanan

Teks: Nor Azian Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my




Peniaga jalanan sering dilihat seumpama warga kelas ketiga. Sementelah penampilan pakaiannya tidak sehebat warga kolar putih yang berbaju kot dan bertali leher mahupun berkasut tinggi dengan beg tangan jenama import. Kenderaannya juga kelihatan hampir roboh berbanding graduan baru masuk kerja yang tampil berkereta baru licin berkilat.

Isnin yang lalu, kami berdagang di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Inilah kali pertama kami menjejakkan kaki ke sini. Tenang dan aman saja tempatnya.

Suasana pagi masih lengang. Hanya kelihatan seorang dua peniaga sedang memasang khemah biru,

Sekitar jam 10 pagi, kami selesai memasang khemah seterusnya menantikan kehadiran pelanggan. Di kanan kami peniaga pakaian budak, di kiri kami peniaga menjual air balang manakala bersetentang dengan kami pula peniaga laksa dan air soya taufufah.

Cuaca makin terik saat pelanggan mulai ramai sekitar jam 12:30 tengahari. Berbekalkan skil Mengenal Pelanggan, serba sedikit membantu untuk Close Sale.

Bukan mudah ya berniaga di jalanan.

Kita sering teruja apabila mendengar si polan itu jualannya laku keras, balik licin. Sedangkan kita tidak pernah tahu bahawa banyak ketika jualannya kosong.

Kita juga sering terpesona dengan kata-kata manis pengurus acara menyatakan ribuan orang akan hadir di situ. Hakikatnya meskipun ribuan yang hadir tetapi jika kita tidak bijak mengurus, segalanya akan hilang begitu saja.

Untuk menguasai perniagaan jalanan memerlukan skil pengurusan yang mantap.
Iaitu pengurusan kewangan, masa dan manusia.

Sebelum memilih untuk menyertai sesebuah lokasi perniagaan, perkara pertama yang perlu diambil kira adalah tujuan menyertainya.
Untuk Berjualan?
Untuk Pengenalan Pasaran?
Untuk Menambah Rangkaian?

Selepas mengenalpasti tujuan, haruslah kita tentukan sasaran pelanggan dan sasaran jualan. Ini akan menentukan siapakah bakal pelanggan yang bakal hadir dan memberikan keuntungan buat kita.

Akhir sekali barulah menentukan produk yang hendak didagangkan. Ini termasuklah jenis produk, pembungkusan, penentuan harga serta jumlah yang ingin dibawa.

Kajian Kes Hari Ini


Peniaga air berkongsi kisah dengan saya,

"Dulu masa mula-mula datang sini, banyak membazir buang air kak. Masa tu baru nak perkenalkan air jagung dengan air soda ni. Sekarang Alhamdulillah." 
Saya lihat beliau hanya menjual 2 balang air dengan harga RM4 secawan. Belum pukul 1:30 petang beliau sudah mula berkemas ingin pulang. Licin! Saya anggarkan hasil jualannya sekitar RM200 atau mungkin lebih.

Setelah mengenalpasti pasaran, beliau mampu mendapatkan hasil jualan yang diidamkan.

Sudah berangan untuk berniaga air pula ke?