Friday, September 13, 2024

Sakit dan Kesembuhan

"Sakit apa?"
Itu persoalan yang sering ditanyakan teman, rakan taulan, kenalan dan saudara mara. Terkejut mereka tatkala mendengar aku tiba-tiba dimasukkan ke hospital dan perlu jalani pembedahan.
Almaklum, aku tak pernah sakit yang teruk sebegini. Setakat demam, itu perkara biasa dan aku tak pernah culas masuk kerja meskipun dalam keadaan kepala biul serta tak boleh berfikir dengan waras. Bertahan saja.
"Demam ni makan Panadol saja," kata madam yang tak betah melihat pekerjanya mengambil cuti.
"As a leader, you must know your priority. The company is still fragile. Kalau sekejap sekejap nak MC, nak EL, macamana company nak survive?" kata-kata Madam sering terngiang dalam kepala setiap kali aku mula rasakan kesihatan badan kurang baik. Aku dilanda rasa berdosa jika sakit.
Justeru, aku sangat jaga kesihatan. Aku jaga pemakanan, ambil suplemen, bersenam (walaupun ada cheating sikit), dan cuba kawal kesihatan minda (yang ni banyak kali kecundang).
Dalam sejarah kerjaya, rekod kehadiran aku sangat baik. Aku sangat berbangga kerana sepanjang 9 tahun kerjaya bersama SIC, jumlah MC aku hanyalah 2 hari saja.
Waktu itu, aku alami alergi teruk. Seluruh badan merah dan gatal. Doktor sendiri tak dapat kenalpasti puncanya. Tapi aku rasa ia berpunca daripada bahan kimia daripada kertas yang aku baru saja terima pada hari sebelumnya.
Itulah satu-satunya aku diberi MC sepanjang 9 tahun bekerja sebagai System Administrator di SIC.
Namun, tahun 2024 membawa cerita yang lain. Buat pertama kali selama 7 tahun di syarikat terkini, aku terpaksa ambil cuti sakit yang panjang sehingga 68 hari.
Ya! Aku tak pernah MC! Walaupun demam panas atau terseliuh kaki, aku tetap gigih datang bekerja. Jika demam pun, seringkali hadirnya pada hari Jumaat dan sembuh menjelang Ahad. Macam tau tau saja yang aku perlu terus bekerja.
"I'm surprised that you're still standing. You can fall anytime. I'll get you warded today" beritahu Dr Siti dengan pandangan serius.
Macam dunia berhenti sekejap. Tak sangka, pendarahan yang aku alami sebenarnya di tahap bahaya.
Aku didiagnose anemia dengan bacaan HB4.6. Ia kritikal dan doktor beritahu yang aku boleh terkena serangan jantung pada bila-bila masa.

Terkenangkan kisah ibu Mira yang diserang stroke akibat stres yang melampau. Aku tak mampu untuk sakit sebegitu. Ia melibatkan bukan saja kewangan yang banyak, malah menyukarkan orang terdekat untuk menjaga dan mengurus.
Susulan daripada itu, Dr Siti jadualkan aku untuk jalani pembedahan. Ia bertujuan menangani masalah pendarahan yang berterusan.
Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar meskipun aku kehilangan banyak darah semasa pembedahan dijalankan.
"HB Puan dah naik ke 14," beritahu nurse semasa membuat pemeriksaan selepas aku selesai menjalani pembedahan.
Suaranya yang ceria membuatkan aku rasa lega yang tak dapat digambarkan. Macam beban berat selama berbulan-bulan tiba-tiba diangkat. Sekarang, masa untuk rehat. Masa untuk sembuh.
Cuti kali ini, walaupun dipaksa oleh keadaan, aku syukur. Syukur masih diberi peluang untuk berehat, untuk menghargai kesihatan yang dulunya aku abaikan.
Nikmat hidup, satu nafas pada satu masa.

Sakit Itu Mahal Harganya. Sihat Juga Bukan Percuma.

Membaca coretan seorang teman pesakit kanser berkenaan Bil Rawatan, sesungguhnya, ia adalah satu ujian yang sangat perit untuk dilalui.

Bayangkan, dahlah sakit, tak boleh bekerja, tak boleh urus diri, perlukan rawatan dan ubatan. Kos rawatan pula sangat tinggi untuk setiap sesi rawatan.
Setelah melalui sendiri beberapa siri rawatan dan pembedahan tahun ini, tak dinafikan medical card sedikit sebanyak membantu.
Tetapi, di sebalik ceritanya, jika kau tak ada kerja, tak berduit, pasti kau sendiri tak mampu nak bayar premium bulanan tersebut.
Yang orang tak tahu, Medical Card tak akan cover semua perbelanjaan hospital. Ada saja perbelanjaan yang perlu dikeluarkan daripada poket sendiri. Meski tak banyak, cecah empat angka juga.
Ikat perut juga nak bayar bakinya. Kalau nak ke swasta, sentiasa standby duit yang banyak juga tau.
Jadi, apa yang perlu dibuat oleh kita adalah sebaiknya jagalah kesihatan.
Namun, jika Allah nak uji, maka kun fayakun, sakitlah kamu meskipun bersenam, makan vitamin/suplemen dan jaga makan.
Ujian sakit adalah ujian untuk refleksi diri.
Sibuk mengejar dunia yang pantas sehingga mengabaikan hak diri untuk rehat, menikmati ketenangan dan menyantuni keluarga.
Ada lagi berbaki 3 minggu sehingga dibenarkan untuk kembali bekerja. 57 hari dicutikan oleh Dr Siti.

Jangan berasa bangga kalau sentiasa sihat. Sebab Firaun tak pernah sakit.