Dia bukan wanita yang lemah.
Bahkan sepanjang hidupnya, dia dikenali sebagai individu paling cekal, paling teguh berdiri walaupun dunia bergoncang di sekelilingnya. Seorang pengurus yang disegani, tegas, berwibawa dan sentiasa ada jalan keluar untuk apa-apa sahaja cabaran yang dilalui. Namun, ada satu cabaran yang masih belum dia temui jalan keluarnya, selain berhenti kerja.
Hari itu, tanggal 30 April 2025, dia menanggalkan semuanya.
Kad akses. Meja kerja. Kunci kereta.
Dia serahkan semuanya dengan tangan yang tidak lagi bertenaga.
Dan saat pintu pejabat ditutup di belakangnya, dia merasakan seluruh tubuhnya menjadi longlai. Bukan kerana penat fizikal, tetapi kerana kehilangan identiti yang telah dipertahankannya separuh daripada hidupnya.
Dia tidak pernah merancang untuk berhenti.
Jika ditanya setahun sebelum itu, dia pasti menjawab akan terus bekerja sehingga pencen.
Dia masih memerlukan gaji bulanan yang diterima. Dia masih mempunyai banyak impian yang belum tertunai. Namun, kehidupan ini sebenarnya bukan tentang apa yang kita rancang.
Semuanya bermula dengan satu panggilan.
Suara ibunya di hujung talian. Suara itu sedih, perlahan, lemah tidak bertenaga, disulam nada kecewa dan penuh derita.
"Along, Ibu lapar... Pina tak ada..."
Tangisan ibu yang teresak-esak seperti anak kecil, membuatkan hatinya pecah walaupun dia cuba untuk kelihatan tabah.
Melihat jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 6:45petang. Mesyuarat baru saja bermula sedangkan waktu pulang adalah jam 6:00petang.
"Along meeting," itu sahaja yang sempat dia balas dengan nada perlahan. Risau didengari Pengerusi mesyuarat di depan mata.
Cepat.
Ringkas.
Air mata ibu seolah-olah tidak mempunyai tempat dalam ruang kerjanya yang terlalu profesional.
Talian dimatikan.
Dan dalam diam, air matanya pula yang jatuh.
Bukan kerana penyesalan saat itu, tetapi kerana dia sedar bahawa dia tidak lagi tahu siapa dirinya.
Dia tersepit antara dua dunia.
Satu dunia yang membina masa depannya dan satu dunia yang menuntut jiwanya.
Dia cuba bertahan. Cuba membahagikan masa. Tetapi waktu tidak pernah cukup. Ibu semakin uzur. Rumah semakin sunyi. Dan di pejabat, tekanan terus mencengkam tanpa belas. Baik daripada Pengarah Urusan yang tidak pernah cukup dengan setiap pencapaian, mahupun penyelia yang kerap mengekangnya dalam mesyuarat sampai lewat malam. Sistem pekerjaan yang tidak pernah selesai terus memeras masanya.
Akhirnya, dia memilih untuk mengundurkan diri.
Dengan rasa berat yang tidak terungkap, dia tinggalkan semuanya. Karier yang dibina selama dua dekad, rakan sekerja yang telah menjadi seperti keluarga, kereta syarikat yang menjadi simbol kejayaan. Dan yang paling menyakitkan… harga dirinya sebagai wanita berkerjaya.
Kini, dia berada di rumah.
Menjaga ibu.
Mengisi masa dengan tugas-tugas yang tidak ada KPI, tiada pencapaian, tiada penghargaan rasmi.
Dahulu, dialah wanita hebat yang sibuk mengejar sasaran suku tahun Kini dia menjadi seorang anak perempuan yang menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, menyuap ubat, membalut luka dan mendengar rungutan serta bebelan ibu yang tidak pernah puas meraih perhatian.
Dia merindui dunia lamanya.
Rindu mesyuarat. Rindu rasa dihargai. Rindu saat semua orang menunggu arahannya.
Namun, lebih daripada semua itu, dia merindui dirinya sendiri.
Rindu rasa berdaya.
Rindu rasa berguna.
Namun setiap kali dia memandang wajah tua ibu yang semakin redup, dia tahu… dia tidak gagal.
Cuma jalannya telah berubah.
Dia tidak lagi berdiri di atas pentas kejayaan, tetapi kini dia berdiri dalam ruang kecil yang dinamakan "pengorbanan."
Dan ya, ruang itu sunyi.
Tiada sorakan.
Tiada anugerah.
Hanya ada dia… dan ibunya.
Dua jiwa yang kini sedang belajar menyembuhkan antara satu sama lain.
Pengajaran dan Pesanan
Dalam dunia yang sentiasa mengejar angka dan pencapaian, kita sering terlupa bahawa redha Tuhan itu sering hadir dari tempat-tempat yang paling sunyi seperti suara ibu yang sayu, atau tangan tua yang menanti suapan seorang anak.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 23–24:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: 'Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil.'”
Ada pengorbanan yang dunia tidak akan nampak, tetapi syurga memandangnya dengan penuh kasih.
Jika kamu sedang diuji untuk memilih antara dunia dan orang tuamu, ketahuilah… Tuhan sedang memberi peluang untuk kamu meraih sesuatu yang lebih kekal — redha-Nya.