Thursday, May 22, 2025

Trip ke UAE

United Arab Emirates merupakan destinasi pertama ziarah saya keluar dari bumi Malaysia. 

Saya perlu mengenali bumi Arab sebelum meneruskan perjuangan ke China.
Istimewanya saya membawa bersama kedua ibu bapa dan adik bersekali.

Kos terlibat:
Visa: Tiada
Hari: 6 
Flight MAS RM1800 two way x 5pax = RM7200
Ground: Accommodation & Transport = NA
Tiket (aktiviti MESTI CUBA kalau berada di UAE):
Underwater world: AED110 seorang
Floating Restaurant: AED55 seorang
Desert Safari: AED150 seorang
Global Village Abu Dhabi: AED10 seorang

Hari Pertama:
Sampai di Dubai Airport sekitar jam 5 pagi. Sempat solat subuh di surau airport. Cuaca agak dingin. Kami menginap di Ras Al Khaimah sebuah bandar pelabuhan yang terletak di bahagian Utara UAE. 1 jam perjalanan berkereta merentas lebuhraya dihiasi pemandangan unta padang pasir. 
Di sebelah malamnya kami ke kawasan persekitaran Al Mamourah Road memborong minyak wangi dan saffron. Itu adalah program pertama yang paling penting. Pelbagai jenis minyak wangi yang harum semerbak sepanjang perjalanan.

 Pemandangan dari tingkap balkoni
Pemandangan pelabuhan RAS Al Khaimah dari tingkap dapur


 Sekitar Al Mourah Road yang dilimpahi haruman minyak wangi dan pelbagai kerlipan abaya tempah siap 24 jam

Saffron pelbagai gred

Hari Kedua:
Aktiviti santai. Melawat Burj Dubai dan Jumeirah Beach. Burj Khalifah. Dubai Mall. Underwater World di dalam Dubai Mall. Beri makan ikan dengan menaiki bot kecil di dalam akuarium.Tiket AED110 seorang. Di hadapan Souq Al Bahar ada pertunjukan dancing fountain yang dipenuhi ramai pengunjung. Ala-ala KLCC di Malaysia.

Big Bus Tours yang tak sempat nak naik. 


 Burj Dubai
Jumeirah Beach di belakang Burj Dubai

 Underwater World Dubai Mall 
- ramai pengunjung, tiada perbezaan dengan Aquaria KLCC, tetapi Aquaria KLCC lebih banyak dan lebih besar

 Burj Khalifa waktu malam dari arah Dubai Mall (Souq al Bahar)
Pertunjukan dancing fountain di Dubai Mall berhampiran Souq Al Bahar

Hari Ketiga:
Aktiviti Santai. Menziarahi lokasi emas perhiasan di Dubai City of Gold. Naif Market untuk melihat pelbagai cenderahati. Ala-ala Central Market di KL. Kami berjalan di lorong-lorong kecil mencari apa yang menarik untuk dibeli. Pada sebelah malamnya kami makan malam di Floating Restaurant. Sambil makan menikmati cruise sepanjang sungai di Bur Dubai. Ada juga persembahan silap mata. Makanannya takde la istimewa sangat pun. Tiket AED55 seorang. Pengalaman yang tidak menghampakan.
Pelabuhan Bebas Cukai di Dubai
 Merentasi Bur Dubai menggunakan Dhow Cruise ini pada malamnya
 Gold Land
 Hiasan yang agak menarik tetapi saya jumpa item ini di China
 Sebahagian daripada koleksi emas di sekitar Gold Souq (Dubai City of Gold)
 koleksi patch work berbatu yang banyak digunakan untuk abaya
Oasis Palm Floating Restaurant

Masa ni lah nak merasa makanan Arab. Pelbagai jenis. 

Hari Keempat:
Aktiviti Santai. Ke Dubai lagi. Jalan-jalan sekitar The Palm Island Dubai. Melihat keindahan senibina. Shopping minyak wangi sekitar Naif Road dan sekitar Masjid Al Futtaim.


Hari Kelima:
Hari ini ada aktiviti adventure. Pagi-pagi kami ke The Palm Island Dubai sekali lagi. Kemudian ke Ibnu Battuta Mall. Jalan-jalan, makan-makan. Kami dijemput oleh jip Desert Safari sekitar jam 2 petang untuk di bawa ke padang pasir. Perjalanan jauh sekitar 30-45 minit ke padang pasir. Kembara roller coaster bermula sekitar 1 jam. Berhenti seketika untuk ambil gambar. Kemudian terus makan malam sambil dihiburkan dengan tarian gelek dan pelbagai aktiviti lain. Makan minum ringan, menunggang unta serta melukis henna adalah termasuk di dalam tiket. Tiket AED150 seorang

Aktiviti Desert Safari dan persembahan padang pasir (tarian gelek dan sufi dance)


Hari Keenam (jumaat):
Hari ini perjalanan agak panjang. Ke Abu Dhabi sekitar 2 jam perjalanan. Pertama sekali ke Yas Marina Circuit dan Ferrari World. Ferrari World tidak beroperasi pada hari Jumaat oleh itu tak berpeluang untuk masuk. Solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed Abu Dhabi. Masuk ke Global Village. Tiket AED10 seorang. Banyak pameran produk makanan dan pakaian. Sayangnya booth Malaysia tak ada bawa apa yang menarik.

Yas Marina Circuit - Ferrari World - Masjid Sheikh Zayed - Global Village

Hari Ketujuh:
Pulang. Flight sekitar Jam 8mlm. Aktiviti last minute shopping minyak wangi dan rempah di sekitar Ras Al Khaimah.

Kesimpulannya:
UAE sebuah negara besar. Untuk kembara ini kami menziarahi 3 daerah iaitu Dubai, Ras Al Khaimah dan Abu Dhabi. Kembara ke UAE sangat sesuai untuk pencinta senibina dan kaki shopping minyak wangi. Namun begitu, tidak jauh beza dengan Malaysia. Kita seolah-olah berada di Putrajaya dan KL sahaja.
Untuk solo traveller wanita, sebaiknya datang berteman. Ini adalah kerana terdapat daerah yang menghadkan penglibatan wanita di dalam aktiviti mereka seperti di Ras Al Khaimah.
Jika mengikuti program Desert Safari juga sebaiknya berteman kerana suasananya agak kurang menyenangkan andai bersendirian. Daerah Dubai masih OK kalau sekadar menikmati window shopping kerana ia bandar yang agak moden.
Tempat makan sangat banyak. Sediakan duit saja kerana kosnya yang sangat tinggi.
Bilik air yang sangat bersih dan indah siap boleh baring-baring lagi.
Penggunaan styrofoam dan tisu yang sangat banyak agak menakutkan saya.
Para peniaga yang kasar, ganas dan agak kurang berbudi bahasa. Namun jika berjumpa peniaga yang bukan dari kalangan orang Arab, mereka lebih bersopan sedikit.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu merancang kembara anda.
Selamat mengembara!!!

Bila Dunia Tidak Lagi Penting: Sebuah Pengorbanan Untuk Ibu

Dia bukan wanita yang lemah.

Bahkan sepanjang hidupnya, dia dikenali sebagai individu paling cekal, paling teguh berdiri walaupun dunia bergoncang di sekelilingnya. Seorang pengurus yang disegani, tegas, berwibawa dan sentiasa ada jalan keluar untuk apa-apa sahaja cabaran yang dilalui. Namun, ada satu cabaran yang masih belum dia temui jalan keluarnya, selain berhenti kerja.

Hari itu, tanggal 30 April 2025, dia menanggalkan semuanya.
Kad akses. Meja kerja. Kunci kereta.
Dia serahkan semuanya dengan tangan yang tidak lagi bertenaga.
Dan saat pintu pejabat ditutup di belakangnya, dia merasakan seluruh tubuhnya menjadi longlai. Bukan kerana penat fizikal, tetapi kerana kehilangan identiti yang telah dipertahankannya separuh daripada hidupnya.

Dia tidak pernah merancang untuk berhenti.
Jika ditanya setahun sebelum itu, dia pasti menjawab akan terus bekerja sehingga pencen.
Dia masih memerlukan gaji bulanan yang diterima. Dia masih mempunyai banyak impian yang belum tertunai. Namun, kehidupan ini sebenarnya bukan tentang apa yang kita rancang.

Semuanya bermula dengan satu panggilan.
Suara ibunya di hujung talian. Suara itu sedih, perlahan, lemah tidak bertenaga, disulam nada kecewa dan penuh derita.
"Along, Ibu lapar... Pina tak ada..."
Tangisan ibu yang teresak-esak seperti anak kecil, membuatkan hatinya pecah walaupun dia cuba untuk kelihatan tabah.

Melihat jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 6:45petang. Mesyuarat baru saja bermula sedangkan waktu pulang adalah jam 6:00petang.

"Along meeting," itu sahaja yang sempat dia balas dengan nada perlahan. Risau didengari Pengerusi mesyuarat di depan mata. 

Cepat.
Ringkas.

Air mata ibu seolah-olah tidak mempunyai tempat dalam ruang kerjanya yang terlalu profesional.

Talian dimatikan.
Dan dalam diam, air matanya pula yang jatuh.
Bukan kerana penyesalan saat itu, tetapi kerana dia sedar bahawa dia tidak lagi tahu siapa dirinya.

Dia tersepit antara dua dunia.
Satu dunia yang membina masa depannya dan satu dunia yang menuntut jiwanya.
Dia cuba bertahan. Cuba membahagikan masa. Tetapi waktu tidak pernah cukup. Ibu semakin uzur. Rumah semakin sunyi. Dan di pejabat, tekanan terus mencengkam tanpa belas. Baik daripada Pengarah Urusan yang tidak pernah cukup dengan setiap pencapaian, mahupun penyelia yang kerap mengekangnya dalam mesyuarat sampai lewat malam. Sistem pekerjaan yang tidak pernah selesai terus memeras masanya.

Akhirnya, dia memilih untuk mengundurkan diri.
Dengan rasa berat yang tidak terungkap, dia tinggalkan semuanya. Karier yang dibina selama dua dekad, rakan sekerja yang telah menjadi seperti keluarga, kereta syarikat yang menjadi simbol kejayaan. Dan yang paling menyakitkan… harga dirinya sebagai wanita berkerjaya.

Kini, dia berada di rumah.
Menjaga ibu.
Mengisi masa dengan tugas-tugas yang tidak ada KPI, tiada pencapaian, tiada penghargaan rasmi.
Dahulu, dialah wanita hebat yang sibuk mengejar sasaran suku tahun Kini dia menjadi seorang anak perempuan yang menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, menyuap ubat, membalut luka dan mendengar rungutan serta bebelan ibu yang tidak pernah puas meraih perhatian.

Dia merindui dunia lamanya.
Rindu mesyuarat. Rindu rasa dihargai. Rindu saat semua orang menunggu arahannya.
Namun, lebih daripada semua itu, dia merindui dirinya sendiri.
Rindu rasa berdaya.
Rindu rasa berguna.

Namun setiap kali dia memandang wajah tua ibu yang semakin redup, dia tahu… dia tidak gagal.
Cuma jalannya telah berubah.

Dia tidak lagi berdiri di atas pentas kejayaan, tetapi kini dia berdiri dalam ruang kecil yang dinamakan "pengorbanan."

Dan ya, ruang itu sunyi.
Tiada sorakan.
Tiada anugerah.
Hanya ada dia… dan ibunya.
Dua jiwa yang kini sedang belajar menyembuhkan antara satu sama lain.


Pengajaran dan Pesanan 

Dalam dunia yang sentiasa mengejar angka dan pencapaian, kita sering terlupa bahawa redha Tuhan itu sering hadir dari tempat-tempat yang paling sunyi seperti suara ibu yang sayu, atau tangan tua yang menanti suapan seorang anak.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra', ayat 23–24:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: 'Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil.'”

Ada pengorbanan yang dunia tidak akan nampak, tetapi syurga memandangnya dengan penuh kasih.


Jika kamu sedang diuji untuk memilih antara dunia dan orang tuamu, ketahuilah… Tuhan sedang memberi peluang untuk kamu meraih sesuatu yang lebih kekal — redha-Nya.

Friday, September 13, 2024

Sakit dan Kesembuhan

"Sakit apa?"
Itu persoalan yang sering ditanyakan teman, rakan taulan, kenalan dan saudara mara. Terkejut mereka tatkala mendengar aku tiba-tiba dimasukkan ke hospital dan perlu jalani pembedahan.
Almaklum, aku tak pernah sakit yang teruk sebegini. Setakat demam, itu perkara biasa dan aku tak pernah culas masuk kerja meskipun dalam keadaan kepala biul serta tak boleh berfikir dengan waras. Bertahan saja.
"Demam ni makan Panadol saja," kata madam yang tak betah melihat pekerjanya mengambil cuti.
"As a leader, you must know your priority. The company is still fragile. Kalau sekejap sekejap nak MC, nak EL, macamana company nak survive?" kata-kata Madam sering terngiang dalam kepala setiap kali aku mula rasakan kesihatan badan kurang baik. Aku dilanda rasa berdosa jika sakit.
Justeru, aku sangat jaga kesihatan. Aku jaga pemakanan, ambil suplemen, bersenam (walaupun ada cheating sikit), dan cuba kawal kesihatan minda (yang ni banyak kali kecundang).
Dalam sejarah kerjaya, rekod kehadiran aku sangat baik. Aku sangat berbangga kerana sepanjang 9 tahun kerjaya bersama SIC, jumlah MC aku hanyalah 2 hari saja.
Waktu itu, aku alami alergi teruk. Seluruh badan merah dan gatal. Doktor sendiri tak dapat kenalpasti puncanya. Tapi aku rasa ia berpunca daripada bahan kimia daripada kertas yang aku baru saja terima pada hari sebelumnya.
Itulah satu-satunya aku diberi MC sepanjang 9 tahun bekerja sebagai System Administrator di SIC.
Namun, tahun 2024 membawa cerita yang lain. Buat pertama kali selama 7 tahun di syarikat terkini, aku terpaksa ambil cuti sakit yang panjang sehingga 68 hari.
Ya! Aku tak pernah MC! Walaupun demam panas atau terseliuh kaki, aku tetap gigih datang bekerja. Jika demam pun, seringkali hadirnya pada hari Jumaat dan sembuh menjelang Ahad. Macam tau tau saja yang aku perlu terus bekerja.
"I'm surprised that you're still standing. You can fall anytime. I'll get you warded today" beritahu Dr Siti dengan pandangan serius.
Macam dunia berhenti sekejap. Tak sangka, pendarahan yang aku alami sebenarnya di tahap bahaya.
Aku didiagnose anemia dengan bacaan HB4.6. Ia kritikal dan doktor beritahu yang aku boleh terkena serangan jantung pada bila-bila masa.

Terkenangkan kisah ibu Mira yang diserang stroke akibat stres yang melampau. Aku tak mampu untuk sakit sebegitu. Ia melibatkan bukan saja kewangan yang banyak, malah menyukarkan orang terdekat untuk menjaga dan mengurus.
Susulan daripada itu, Dr Siti jadualkan aku untuk jalani pembedahan. Ia bertujuan menangani masalah pendarahan yang berterusan.
Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar meskipun aku kehilangan banyak darah semasa pembedahan dijalankan.
"HB Puan dah naik ke 14," beritahu nurse semasa membuat pemeriksaan selepas aku selesai menjalani pembedahan.
Suaranya yang ceria membuatkan aku rasa lega yang tak dapat digambarkan. Macam beban berat selama berbulan-bulan tiba-tiba diangkat. Sekarang, masa untuk rehat. Masa untuk sembuh.
Cuti kali ini, walaupun dipaksa oleh keadaan, aku syukur. Syukur masih diberi peluang untuk berehat, untuk menghargai kesihatan yang dulunya aku abaikan.
Nikmat hidup, satu nafas pada satu masa.

Sakit Itu Mahal Harganya. Sihat Juga Bukan Percuma.

Membaca coretan seorang teman pesakit kanser berkenaan Bil Rawatan, sesungguhnya, ia adalah satu ujian yang sangat perit untuk dilalui.

Bayangkan, dahlah sakit, tak boleh bekerja, tak boleh urus diri, perlukan rawatan dan ubatan. Kos rawatan pula sangat tinggi untuk setiap sesi rawatan.
Setelah melalui sendiri beberapa siri rawatan dan pembedahan tahun ini, tak dinafikan medical card sedikit sebanyak membantu.
Tetapi, di sebalik ceritanya, jika kau tak ada kerja, tak berduit, pasti kau sendiri tak mampu nak bayar premium bulanan tersebut.
Yang orang tak tahu, Medical Card tak akan cover semua perbelanjaan hospital. Ada saja perbelanjaan yang perlu dikeluarkan daripada poket sendiri. Meski tak banyak, cecah empat angka juga.
Ikat perut juga nak bayar bakinya. Kalau nak ke swasta, sentiasa standby duit yang banyak juga tau.
Jadi, apa yang perlu dibuat oleh kita adalah sebaiknya jagalah kesihatan.
Namun, jika Allah nak uji, maka kun fayakun, sakitlah kamu meskipun bersenam, makan vitamin/suplemen dan jaga makan.
Ujian sakit adalah ujian untuk refleksi diri.
Sibuk mengejar dunia yang pantas sehingga mengabaikan hak diri untuk rehat, menikmati ketenangan dan menyantuni keluarga.
Ada lagi berbaki 3 minggu sehingga dibenarkan untuk kembali bekerja. 57 hari dicutikan oleh Dr Siti.

Jangan berasa bangga kalau sentiasa sihat. Sebab Firaun tak pernah sakit.

Sunday, September 26, 2021

My Time Has Come - I am Negative

Sudah 2 tahun kita lalui pandemik dan Malaysia lockdown start 18 Mac 2020. PKP 1.0, PKP 2.0 dan PKP 3.0 kita tempuhi bersama. Daripada kes 1 digit sehinggalah mencapai 5 digit dan tak turun-turun sampai sekarang.

Aku dengan member office selalu bersembang, siapalah pencipta virus ini. Hidupkah dia, matikah dia? Apa perasaan dia berjaya menjadikan seisi dunia mati? Siapa dalang di sebalik semua ini? Untung besarkah dia buat macam ni?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dulu aku tak boleh terima keadaan ini. Sekarang pun. Aku tak bebas. Terpaksa pakai pelitup muka sepanjang masa. Tak selesa. Nafas pun pendek-pendek. 

Kalau dulu, aku cuma dengar orang-orang yang tak dikenali disahkan positif. Tengok orang beratur bersesak-sesak dan beramai-ramai di CAC, buat aku risau, takut. Aku diserang panik dan anxiety.

Kini, tiba masa aku pula. 
Suami aku disahkan positif.

Adoi! Blank sekejap kepala otak ni.

Dia dah demam sejak minggu lepas. Seingat aku dia mengadu sakit urat. Katanya sebab kawan dia bagi minum air tebu. Kebetulan kereta aku buat hal dan kami ulang alik Shah Alam-Puchong naik motor. Aku ingatkan dia sakit sebab travel tu lah. Sabtu lepas dia dah start demam. Tergolek je dalam bilik. Aku ada bagi dia makan vitamin yang ada Cendawan Susu Harimau (CSH). Ye lah, dia tak vaksin lagi. Maka terpaksalah buat alternatif lain untuk lindungi diri aku daripada dijangkiti. Ya! Aku kena extra precaution disebabkan orang yang tolak vaksin macam dia. Lagipun aku kena jaga mak aku. Kalau aku pun gone case, apa jadi dengan mak aku?

Genap seminggu, Sabtu semalam, dia minta temankan ke klinik. Aku pun temankan la. Elok lagi dia boleh drive. Doktor bagitau ada lung infection dan diberikan surat rujukan untuk ke hospital Serdang. 

Aku dah agak, ni kalau pergi hospital tak akan kembali. Tapi kami pergi sehelai sepinggang je. Drop dia kat Kecemasan, dan aku lepak kat parking. Kul 12:30 dia call aku bagitau "positif lah," terus aku jem.

Kepala otak ligat cari apa perlu buat? 
Dalam hati risau. Serius ke? Infection dia stage berapa? Oksigen macam mana? Dia perlu ditidurkan ke? Macam-macam aku fikir. Dahlah dia tak reti nak ulang semula apa yang doktor sampaikan. 

Aku balik rumah, tenangkan fikiran. Tak tau nak buat apa. Cuma fikirkan nak hantar barang peribadi dia. Tapi dia kata tak perlu dulu. Pastu member office dan bos besar dah start call aku. Pesan macam-macam. Aku kena lah bagitau kan. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab terhadap kesihatan orang lain, aku kena alertkan orang yang in contact dengan aku supaya prihatin terhadap kesihatan mereka.

Bos besar minta aku buat swab test haritu juga. Sedangkan aku dah set appointment untuk Ahad. Bos kata, buat RTK, result tak sampai 30 minit dah boleh dapat. Drive through je tak perlu nak masuk klinik. So, aku patuhilah arahan bos. Demi kebaikan aku dan orang lain juga. 

Nak dijadikan cerita, aku set appointment 6:30ptg. 5:30 petang gerak ke BJ. Elok dah sampai BJ, Google Maps aku pergi melencong hantar aku patah balik ke Puchong. Ya Rabbi!

Inilah masalah perempuan macam aku. Mudah hilang arah. Elok-elok 15 minit sampai BJ, aku terpaksa membazir masa, tol dan minyak untuk pusing 2 trip. Lalu aku tutup Google Maps dan drive ikut signboard. Aku ikut hala ke rumah bos dan lepas sampai situ baru aku pasang balik untuk cari exact location. Dekat je pun. 

Dah sampai, takde pulak tempat Drive Through. Aku kena kencing dek bos ke ni?

Maka berpusing-pusinglah aku di sekitar bangunan dan masuk lorong-lorong untuk cari jalan. Jumpa akhirnya. Tu pun terpaksa masuk lorong No Entry. Gamble je.

Alhamdulillah. Seram gak nak swab. Wild imagination aku ingat seksa la nak swab. Rupanya tak de la sakit pun. Cuma terkejut dan aku mudah bersin. Kalau aku terbersin masa kena jolok tu rasanya mau sakit. 

Alhamdulillah dalam 10 minit dah dapat result. Syukur. Negatif.

Malam aku tak berapa bertenang. Mana nak fikir pasal kerja yang melambak. Mana nak fikir pasal siapa nak masak untuk mak aku. Mana nak fikir buat sanitasi rumah. Hurm. Aku tidur dulu la. Esok fikir lain.

Thursday, January 7, 2021

Bagaimana saya pendekkan loan rumah daripada 30 tahun kepada 14 tahun

Cara sediakan deposit 10%

Saya beli Rumah Pertama semasa berumur 32 tahun.

Gaji, bonus dan elaun sangat baik masa tu. Setiap kali dapat bonus memang saya simpan dan niatkan untuk beli rumah pada suatu hari nanti. Walaupun bergaji kecil, saya sangat berjimat orangnya. Al maklumlah, saya susah dapat kerja dan menganggur lebih kurang 3 tahun juga. Kawan-kawan lain lepas grad terus dapat kerja dengan gaji sekitar RM2500-3200 masa itu, sedangkan saya masih terkontang-kanting mencari kerja. 

Selepas 5 tahun bekerja (kerjaya fulltime pertama), saya mampu sediakan deposit rumah tunai sebanyak RM15,000 hasil berjimat cermat. Ini adalah kerana, untuk rumah sub-sale, saya tak boleh keluarkan wang KWSP untuk bayar deposit.

Loan Bank

Loan bermula pada 2006 selama 25 tahun dijangka selesai pada tahun 2031.

Pada mulanya Bank offer 30 tahun, tapi saya minta pendekkan 25 tahun. Sebab saya tak nak tanggung lama walaupun bayaran bulanan kecil. Bagi saya, biarlah bayar besar sebab saya tak tahu sampai bila saya akan masih ada pekerjaan. Masa tu, saya sudah berura-ura nak berhenti kerja. Risau juga.

Agak terkesan dengan interest yang sangat tinggi. Tahun pertama 3.5%, tahun kedua 5% dan tahun ketiga 7.55%. Setiap bulan kena bayar RM1056 dan separuh daripada pendapatan saya habis kat situ. 

Kepala otak saya ligat berfikir, macamana nak settle segera dan apa yang boleh saya buat untuk elakkan interest yang sangat tinggi tu. Terutama apabila dah berhenti kerja, pendapatan dah tak ada, mana nak cekau? 

Saya pun mulalah rajin mencari maklumat tentang cara nak tambah pendapatan. Sifu-sifu ajar untuk 3 perkara:

  1. Tingkatkan simpanan 
  2. Tambah pendapatan
  3. Lindungi pendapatan    

Pendapatan Tambahan 

  1. Berniaga
    • saya aktif join pelbagai freelance job sebagai corporate trainer utk subjek IT, MLM dan apa saja bisnes yang boleh bawa duit tambahan. 
    • saya tubuhkan bisnes dan terlibat dalam perkhidmatan kecantikan dan latihan keusahawanan
  2.  

Pada 2009, saya berjaya beli satu hartanah lelong. Sebuah kedai. Deposit 20% pun saya bayar tunai masa tu. Saya akan kongsikan di posting lain InsyaAllah.

Saya dapat pendapatan tambahan bermula 2015 iaitu penyewa membayar sewa kedai sebanyak RM1600 sebulan. Itupun, sejak COVID saya ada cabaran untuk kutip sewa dan sering lewat sehingga 2-3 bulan.

Berhenti Kerja

Hujung 2009 saya berhenti kerja dan saya bayar bulanan melalui perniagaan sepanjang 2010 sehingga 2016. Sepanjang journey sebagai usahawan, banyak cabaran yang saya lalui dan adakalanya saya terputus untuk membuat pembayaran bulanan. Tapi saya tetap tekad dan usahakan untuk pendekkan loan.

Panduan untuk pendekkan loan daripada 30 tahun kepada 14 tahun:

  1. Pilih untuk pendekkan loan tenure yang ditawarkan bank daripada 30 kepada 25 tahun
  2. Gunakan KWSP untuk bayar deposit 10% jika boleh. Tertakluk untuk rumah baru.
  3. Gunakan sebaiknya akaun 2 KWSP untuk mengurangkan bayaran baki pinjaman setiap kali berpeluang
  4. Tingkatkan simpanan yang diperolehi daripada gaji 
  5. Tambah ilmu: pengurusan kewangan dan pelaburan
  6. Tambah pendapatan daripada:
    • berniaga
    • pasif income: sewaan
  7. Lindungi harta
    • kumpul emas: setiap bulan usahakan untuk ambil sebahagian savings dan beli emas
    • insurans
  8. Kembangkan wang
    • buat pelaburan di pelbagai medium yang diyakini selepas belajar dan memahaminya seperti saham, investment link dan unit trust 
Akhirnya, impian tercapai. Target 10 tahun tapi terlajak 14 tahun. OK gak tu. Jimat 50%! Mana bank nak bagi kan?

Semoga perkongsian ini membantu memberikan idea dan panduan untuk memulakan langkah penjimatan anda.

Wednesday, January 6, 2021

#2 My Warrant Journey - Lilin oh Lilin

 




Lilin oh Lilin 

Candlestick ni hanya pemain saham je yang suka tengok. Saya tak suka. 
Masa belajar dulu, candlestick inilah yang saya paling tak faham.

Saya keliru dengan warna dan ekor.

Tapi secara ringkasnya, pemahaman mudah saya.

  1. Open adalah harga pembukaan bagi kaunter tersebut. 
  2. Close adalah harga penutup bagi kaunter tersebut. 
  3. Jika candle berwarna merah, maka harga pembukaan dan penutup adalah dalam kaedah menurun.
  4. Jika candle berwarna  hijau, maka harga pembukaan dan penutup adalah dalam kaedah menaik.
  5. Ekor yang macam sumbu tu pula menunjukkan pergerakan harga turun dan naik sepanjang masa tersebut.
Cukup ni saja dulu. Mohon tegur jika ada kesalahan.