Sunday, July 15, 2018

Aidilfitri 060718: Penyakit Gaya Hidup

Teks: Nor Azian Binti Jamil
azian@draz.my

"Yan, akak sebenarnya sakit", beritahu kak Fida dalam nada suara yang lemah.

Persoalan tentang keadaannya yang nampak berlainan ketika kami mula menjejak kaki ke ruang tamu rumahnya mula terjawab.

"Akak sakit apa? 3 serangkai ke? Kencing manis? Darah Tinggi?" Tekaku pantas. Al maklum, semenjak berurusan dengan doktor yang banyak memberi perkongsian tentang penyakit Diabetes, sedikit sebanyak aku boleh memahami keadaan seseorang berdasarkan penerangan tentang kesakitan yang dialaminya.

Lalu Kak Fida berkongsi masalah yang dihadapinya.
Mata kirinya sudah buta. "Sebab tu akak tak cam Yan masa Yan sampai tadi."
Kak Fida kini hanya bergantung kepada mata kanannya yang turut mulai kabur dan sukar melihat dek penyakit Diabetes.
Kak Fida juga sudah menjalani pembedahan pinggul kanan. "Akak tak boleh duduk betul. Tak balance. Sebab tu akak tak boleh duduk lama. Sakit." Adunya. Sambil ditunjukkan bahagian ibu jari kaki kirinya yang berlubang dan kehitaman. Itu implikasi kaki buruk! Ia berlaku apabila kuman diabetes menyerang. Luka yang tidak sembuh akan mula merebak ke bahagian berhampiran. Secara perlahan kuman Diabetes akan mereputkan daging yang akhirnya membusuk dan harus dibuang. Meskipun pembedahan dilakukan, kesannya masih kekal berpanjangan sehingga akhirnya bakal meragut nyawa pesakit.

Aku tak mampu melihat. Jiwa aku rapuh. Aku sudah menemui ramai pesakit kritikal seperti ini dan pertemuan kami pasti berakhir.

"Akak, Diabetes ni tak ada ubat. Untuk menjalani kehidupan yang lebih baik masih boleh. Dengan cara amalkan gaya hidup sihat." Itu pesanku dengan suara menahan sebak.

Iya! Diabetes tiada ubat. Ubat yang kita ambil hanya berfungsi untuk melambatkan proses, bukan untuk menyembuhkan. Namun secara perlahan ia juga mampu membunuh kita tanpa sedar melalui pelbagai komplikasi terhadap organ dalaman tubuh kita.

Apa yang boleh membantu kita ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pesan doktor yang sering aku kongsikan bersama mereka yang ingin mendengar:
1. Kawal pemakanan. Ini adalah titik utama dalam memulakan perjalanan ke arah hidup yang lebih berkualiti.

  • Kawal kadar gula dalam darah dengan mengawal pemakanan. Apabila sudah mula mengambil insulin dan juga sudah menjalani pembedahan di mana-mana anggota badan, kita berada di dalam kategori kritikal. Amalan gaya hidup sihat hanya boleh membantu menambah baik kualiti hidup. Ini adalah kerana, anggota tubuh yang sudah dibuang, pasti tidak dapat disambung semula ke tubuh kita. Noktah!
  • Elakkan makanan yang menghasilkan kadar gula yang tinggi terutamanya nasi, pulut, roti, mee kuning, kek, biskut.
  • Elakkan minuman yang mengandungi kadar gula yang tinggi seperti minuman bergas, minuman pra campuran (3 in 1, 10 in 1, dll), minuman isotonik
  • Di dalam setiap hidangan yang diambil, bahagiannya perlu mencukupi. Iaitu, segenggam protin, segenggam karbohidrat dan 2 tapak tangan sayuran hijau.


2. Bersenam. Kita dilahirkan untuk bergerak. Bukannya duduk diam terlentang di sofa sepanjang masa. Sebaiknya lakukan senaman sebanyak 150 minit seminggu. Tidak perlu bersenam seperti di gym. Cukup dengan pergerakan seluruh anggota badan dengan tapak kaki memijak rumput.

  • Cahaya matahari amat penting untuk pesakit diabetes. Ia membekalkan vitamin D kepada tubuh yang membantu proses penyembuhan melalui peningkatan imunisasi tubuh terhadap penyakit. 
  • Kawal stress melalui senaman. Stress mengakibatkan perjalanan darah menjadi tidak lancar lalu melembabkan edaran oksigen ke seluruh tubuh.
  • Apabila tubuh bergerak, perjalanan darah menjadi lancar. Tubuh akan mengeluarkan satu hormon serotonin iaitu hormon gembira yang membantu mengurangkan kadar stress.
3. Pastikan tidur mencukup iaitu 6-8 jam sehari. Kehidupan waktu kini yang menuntut kita bekerja melebihi waktu sebenarnya menjadi punca meningkatnya pertambahan pesakit Diabetes. Apabila tubuh kurang rehat, ia mengakibatkan stress. Apabila stress berlaku, maka antibodi kita menjadi lemah. Apabila antibodi lemah, maka banyaklah penyakit mudah hinggap. 
Islam sendiri menuntut agar kita membahagikan masa kepada 3 bahagian. 1/3 untuk bekerja, 1/3 untuk beribadah, 1/3 untuk berehat. 
Untuk apa sebenarnya kita mengejar dunia ini?

Aku hanya bisa berpesan. Namun yang menghadapinya saja yang lebih tahu.

Teman, andai ada insan terdekat yang menghadapi masalah Diabetes, bebellah sepuas hati. Agar bebelan kita sedikit sebanyak dapat membantu masalah yang dihadapi. Bantulah mereka untuk menjalani hidup yang lebih sihat. Ujian yang mereka terima adalah sebenarnya pengajaran buat kita yang masih hidup ini.

#coffeewriter
#personalobserver

No comments:

Post a Comment