Wednesday, April 5, 2017

E0104: Antara Emas, Perak dan Wang Kertas, Mana Satu Menjadi Pilihan Untuk Simpanan?

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian@draz.my















"Antara Emas, Perak dan Wang Kertas, Mana Satu Menjadi Pilihan Untuk Simpanan?", Pn Reni bertanya.

Jawab saya, "Saya bahagikan kepada 3 bahagian. 55:5:40. Iaitu, 55% untuk emas. 5% untuk perak manakala baki 40% untuk wang kertas. 55% daripada emas itu saya pecahkan menjadi pegangan saham, hartanah, mengembangkan perniagaan serta melancong. 5% untuk perak pula disimpan sekadar suka-suka. 40% daripada wang kertas itu digunakan untuk meneruskan dan menguruskan kehidupan."

Dahulu sewaktu mula belajar menyimpan emas, saya sangat taksub. Sehinggalah pada tahun 2012 saya diberi pengajaran hidup bagaimana emas tidak dapat digunakan. 

Kalut! Takut! Risau!
Apa akan jadi dengan hidupku?

Sedangkan sebelum ini para sifu dan otai-otai emas kerap berkongsi dan mengajar agar menyimpan emas kerana ia sangat diperlukan dan amat berguna di masa depan berbanding wang kertas. 

Ya! Saya pandang senget terhadap wang kertas waktu itu.

Sekitar tahun 2012, berlaku kes perniagaan emas melonjak naik. Pelbagai jenis model dan jenama emas wujud di pasaran. Ada emas MLM (beli emas mesti jadi agen dan bayar yuran yang tinggi) serta wujud pelbagai jenis penipuan emas sehingga menjadi berita nasional. Ini berikutan wujudnya pelbagai syarikat emas yang membuat skim membeli emas tetapi emas disimpan di tempat mereka. Tidak sedar ditipu penyangak durjana! 

Ramai yang membabi buta percaya kerana katanya orang atasannya adalah somebody dan mana mungkin akan ditipu. 
Kerugian bukan setakat puluhan ribu, malah JUTAAN ringgit! 

Situasi mencemaskan ini mengakibatkan emas tidak dapat dicairkan di pasaran. Ini termasuklah emas yang saya sering gunakan sebagai modal perniagaan dan pelancongan. Namun begitu, selepas 7 bulan, syarikat kami satu-satunya dibenarkan meneruskan operasi manakala banyak syarikat lain masih lagi disiasat sehingga lebih 2 tahun. Ini adalah kerana syarikat kami mendapat kepercayaan penuh kerana menjalankan perniagaan emas mengikut undang-undang.

Syukur Alhamdulillah. Saya mendapat tamparan hebat waktu itu. Di dalam keadaan kekurangan tunai, tiada apa yang boleh saya lakukan. Terpaksalah menjual beberapa unit emas yang berada di dalam simpanan. Mujur harga emas meningkat naik waktu itu, tidaklah terasa rugi. Namun saya masih terasa sayang kerana jika ia masih ada, nilainya akan menjadi lebih tinggi di masa hadapan.

Sebuah pengajaran yang amat mahal namun begitu berharga.

5 tips mudah yang boleh saya kongsikan:

  1. Pastikan anda menyimpan emas dan BUKANnya resit atau buku emas bagi mengelak penipuan dan melindungi diri daripada RIBA. 
  2. Simpan emas untuk jangka panjang (JANGAN jual melainkan anda adalah peniaga emas)
  3. Konsisten menyimpan emas (usah dipengaruhi turun naik harga emas melainkan anda adalah pelabur yang sering memerhati carta turun naik harga di pasaran)
  4. Tukarkan (bukan jual ya!) emas kepada pelaburan lain seperti hartanah mahupun pengembangan perniagaan.
  5. Kenalpasti tujuan membeli emas. 
    • Untuk bergaya? 
    • Untuk pelaburan? 
    • Untuk masa depan? Hasilnya akan jadi sangat berbeza.


Sekian dahulu. Semoga ia memberi manfaat. 

No comments:

Post a Comment