Wednesday, March 8, 2017

E2-44: Bagaimana saya membesar di dalam dunia perniagaan?


Pengalaman bisnes.

Dunia perniagaan bukanlah dunia yang asing bagi saya. Sedari kecil saya telah dilatih secara tak langsung dengan mengikuti ayah berniaga di pasar malam, kedai runcit dan berjualan dari rumah ke rumah. Ibu pula melatih berjualan secara kecil-kecilan bagi mendapatkan wang saku sepanjang persekolahan. Berikutan kemiskinan, sepanjang persekolahan sehingga ke universiti tidak pernah menerima sebarang wang belanja dan semuanya diperolehi melalui hasil berniaga kecil-kecilan. Yuran pengajian turut dicari sendiri melalui penajaan biasiswa daripada pelbagai pihak.

- 1999 - Kontroversi dan penutupan ENCS telah mengakibatkan saya dan seorang rakan memulakan pengalaman sebagai tenaga pengajar IT secara freelance. Kepakaran kami telah didengar oleh para pelabur dan kami ditawarkan untuk membuka sebuah kolej IT swasta sendiri. MyBase ditubuhkan namun tidak sampai 6 bulan kami menarik diri berikutan banyak kegagalan berurusan di antara kami dan pihak pelabur.

- 2000 - Pengunduran diri dari MyBase membuatkan kami membuka perniagaan sendiri secara rasmi berkaitan pembekalan peralatan komputer. Kali ini ia dikongsi seramai 4 orang namun begitu ia telah ditutup sebelum cukup 6 bulan berikutan ketidak sefahaman. Seterusnya saya terlibat dalam bidang freelancer sebagai mekap artis, wedding planner dan corporate trainer.

- 2004 - Memandangkan perniagaan dalam bidang wedding planner memberikan pulangan yang besar, maka D RAZ Enterprise telah didaftarkan. Saya selaku pemilik perniagaan bersama beberapa orang pekerja bergerak secara freelance. Memulakan perniagaan dari rumah sewa (sewa rm400), kami berpindah ke rumah kedai (sewa rm500). Kami merantau ke seluruh Malaysia mengadakan pelbagai kelas dan nama kami sangat dikenali pada waktu itu.

- 2006 - kejayaan dalam perniagaan membuka peluang kepada saya untuk membeli sebuah rumah diikuti pada tahun 2008 saya membeli sebuah kedai dan perniagaan kami berkembang di kedua premis tersebut.

- 2010 - berikutan keinginan meneroka ke kawasan luar, kami menutup kedai dan berpindah ke uptown. Kedai tersebut pula telah disewakan. Kami belajar secara amali menjadi pemborong produk kecantikan dari China. Sepanjang tahun 2010-2011 kami berulang alik ke China sehingga dinekali di kalangan peniaga sana. Namun begitu, kelemahan dari segi pengurusan kewangan telah melembabkan perniagaan dan fasa facebook telah mengambil alih sehingga melahirkan ramai peniaga online. Kami tidak dapat bertahan lama di uptown berikutan sewa yang tinggi (rm1000) serta peraturan yang menyusahkan. Kami tidak boleh buka dan tutup perniagaan mengikut jadual kami sendiri.

- 2012 - Kami berpindah ke sebuah kompleks pasaraya dengan sewa yang berbaloi (rm700). Dengan seorang pekerja tetap, urusan perniagaan menjadi sangat lancar dan mudah. Namun begitu...

- 2013 - Bahang kelembapan ekonomi sudah mula dirasakan. Perniagaan mula terasa lembab dan saya sudah tidak mampu untuk menguruskan dengan baik. Saya ingin keluar dari bisnes sekarang namun tidak tahu caranya. Kami berjaya mengharungi perniagaan di kompleks ini sehingga tahun 2015. Tekanan kewangan makin terasa berikutan adanya GST dan masalah kelembapan wang RM di pasaran dunia. Memandangkan produk yang saya jual datangnya dari luar negara, kenaikan harga sehingga 100% mengakibatkan saya murung.

- 2015 - Saya berura-ura untuk keluar dari kompleks demi memastikan aliran tunai berjalan lancar. Akhirnya kami kembali ke asal iaitu bergerak dari rumah pada pengakhiran 2015 setelah menutup perniagaan wedding planner. Kini saya cuma meneruskan dengan perniagaan berkaitan produk kecantikan dan latihan.

- 2016 - Matlamat saya untuk meningkatkan tunai di tangan melalui sewaan premis dan pemotongan kos. Alhamdulillah ia satu tindakan yang tepat. Meskipun masih belum benar berjaya, namun saya yakin 2017 pasti memberikan kejayaan yang diusahakan.

- 2017 - Lembaran baru dengan impian baru. Saya ingin kembali ke premis asal sekitar 2018. Agak selesa kali ini namun saya perlu bermula semula selepas pengakhiran perniagaan yang lalu.


Doakan agar kami dapat mengharungi episod sukar ini dengan lebih berjaya.

No comments:

Post a Comment