Thursday, March 9, 2017

E6-44: Sesi Temubual

Teks: Nor Azian Binti Jamil
Gambar: Google & Koleksi Peribadi
azian@draz.my



===

"Macamana Puan boleh minat buat kerja menulis ni? Saya kagum la boleh siapkan cepat. Kalau saya, serabut tak tahu nak tulis apa. In English pula tu,"
===

Nik, jurutera muda yang cantik manis ini cuba mencungkil pengalaman saya sewaktu sesi konsultasi tugasan.


Sebenarnya saya sedang membantunya menyemak tesis yang dihasilkan untuk topik Kejuruteraan. Ia dihasilkan di dalam bahasa Inggeris dan saya perlu semak tatabahasa, kosakata serta susunatur ayat yang digunakan. 

Sambil duk belek hasil penulisan si Nik ni, agak bagus juga. Susunan ayatnya teratur dan tidak banyak masalah tatabahasa. Satu-satunya yang saya jumpa mempunyai hasil penulisan yang menarik dan tepat. Hasil penulisan dari orang lain yang saya pernah semak setakat ini, banyak kena tanda dengan pen merah. Masalah utama mereka kebanyakannya ialah ayat tergantung, ayat tunggang langgang serta tatabahasa yang tidak betul.

Saya juga tidak menyangka akan terlibat semula di dalam bidang penulisan akademik selepas lebih 20 tahun meninggalkan alam Universiti. Ia tidaklah semudah yang disangka tetapi bentuk penulisan yang dihasilkan sangat menjana minda. 



Pengalaman sebagai penulis
Sewaktu zaman budak sekolah dulu saya banyak menulis cerpen, pantun, sajak, puisi, gurindam serta novel untuk majalah. Merasalah jua sedikit honorarium serta hadiah pelbagai jenis buku nota dan buku cerita. 

Indahnya zaman sekolah dulu kan? Teringat kembali kenangan berguru dengan Othman Puteh. Waktu itu, anak beliau Hizairi yang paling terkenal di kalangan budak sekolah macam kami. Terkenang juga sahabat saya, anak kepada sasterawan negara A.S.Said yang memiliki hasil penulisan kritis.

Selepas memasuki alam universiti, saya tidak lagi aktif di dalam penulisan dek kesibukan dengan aktiviti luar. 

Namun begitu, jemari saya kembali aktif menulis selepas wujudnya blog dan forum di dunia maya. Waktu itu, talian internet hanya boleh didapati di pejabat dan ia tidaklah semudah sekarang.

Bentuk penulisan saya mulai berubah kepada lebih kritis dan berfakta. Almaklumlah, zaman pekerjaan telah membuka minda kepada perkara yang lebih formal. Saya banyak memberi tumpuan kepada menulis Ulasan Produk dalam dwibahasa. Tujuan saya hanya satu, untuk dikenali oleh orang luar Malaysia. 

Hasil penulisan dalam bentuk dwibahasa sememangnya telah berjaya menemukan saya kepada pelanggan luar negara. Apa lagi, di zaman matawang MYR jatuh teruk, saya dibayar dalam USD/CAD/EURO/SGD. Seronok kan?

Kemudian saya berjinak-jinak di dalam genre lain yang lebih memfokus kepada bidang keusahawanan. Saya mulai menulis Ayat Iklan, Pemasaran Kandungan serta Surat Jualan. Selain membantu di dalam perniagaan saya, ia juga telah membuka peluang untuk saya menawarkan perkhidmatan ini kepada ramai usahawan lain.

Nak saya kongsikan bagaimana saya bermula menjadi penulis Ayat Iklan?

Nantikan ya!

No comments:

Post a Comment