Wednesday, March 8, 2017

E3-44: Peniaga Jalanan

Teks: Nor Azian Jamil
Gambar: Koleksi Peribadi
azian@draz.my




Peniaga jalanan sering dilihat seumpama warga kelas ketiga. Sementelah penampilan pakaiannya tidak sehebat warga kolar putih yang berbaju kot dan bertali leher mahupun berkasut tinggi dengan beg tangan jenama import. Kenderaannya juga kelihatan hampir roboh berbanding graduan baru masuk kerja yang tampil berkereta baru licin berkilat.

Isnin yang lalu, kami berdagang di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Inilah kali pertama kami menjejakkan kaki ke sini. Tenang dan aman saja tempatnya.

Suasana pagi masih lengang. Hanya kelihatan seorang dua peniaga sedang memasang khemah biru,

Sekitar jam 10 pagi, kami selesai memasang khemah seterusnya menantikan kehadiran pelanggan. Di kanan kami peniaga pakaian budak, di kiri kami peniaga menjual air balang manakala bersetentang dengan kami pula peniaga laksa dan air soya taufufah.

Cuaca makin terik saat pelanggan mulai ramai sekitar jam 12:30 tengahari. Berbekalkan skil Mengenal Pelanggan, serba sedikit membantu untuk Close Sale.

Bukan mudah ya berniaga di jalanan.

Kita sering teruja apabila mendengar si polan itu jualannya laku keras, balik licin. Sedangkan kita tidak pernah tahu bahawa banyak ketika jualannya kosong.

Kita juga sering terpesona dengan kata-kata manis pengurus acara menyatakan ribuan orang akan hadir di situ. Hakikatnya meskipun ribuan yang hadir tetapi jika kita tidak bijak mengurus, segalanya akan hilang begitu saja.

Untuk menguasai perniagaan jalanan memerlukan skil pengurusan yang mantap.
Iaitu pengurusan kewangan, masa dan manusia.

Sebelum memilih untuk menyertai sesebuah lokasi perniagaan, perkara pertama yang perlu diambil kira adalah tujuan menyertainya.
Untuk Berjualan?
Untuk Pengenalan Pasaran?
Untuk Menambah Rangkaian?

Selepas mengenalpasti tujuan, haruslah kita tentukan sasaran pelanggan dan sasaran jualan. Ini akan menentukan siapakah bakal pelanggan yang bakal hadir dan memberikan keuntungan buat kita.

Akhir sekali barulah menentukan produk yang hendak didagangkan. Ini termasuklah jenis produk, pembungkusan, penentuan harga serta jumlah yang ingin dibawa.

Kajian Kes Hari Ini


Peniaga air berkongsi kisah dengan saya,

"Dulu masa mula-mula datang sini, banyak membazir buang air kak. Masa tu baru nak perkenalkan air jagung dengan air soda ni. Sekarang Alhamdulillah." 
Saya lihat beliau hanya menjual 2 balang air dengan harga RM4 secawan. Belum pukul 1:30 petang beliau sudah mula berkemas ingin pulang. Licin! Saya anggarkan hasil jualannya sekitar RM200 atau mungkin lebih.

Setelah mengenalpasti pasaran, beliau mampu mendapatkan hasil jualan yang diidamkan.

Sudah berangan untuk berniaga air pula ke?

No comments:

Post a Comment